
PONTIAN – Pendapatan 30 nelayan Sungai Simpang Kiri, Mukim Sungai Karang di sini bukan sahaja terus terjejas, malah terpaksa menunggu lama untuk mengetahui punca pencemaran yang menyebabkan mereka sukar mendapatkan hasil tangkapan.
Lebih mengecewakan apabila mereka dimaklumkan sampel air sungai yang diambil Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Perikanan Johor minggu lalu akan diketahui dalam tempoh dua hingga tiga bulan.
Pengerusi Pakatan Nelayan Sungai Simpang Kiri, Shahrizal Sirang berkata, tempoh lama itu menimbulkan persoalan dalam kalangan nelayan yang kini berdepan kemerosotan hasil tangkapan ekoran daripada aktiviti penambakan tanah.
“Kenapa perlu mengambil masa begitu lama untuk mendapatkan keputusan? Kami nelayan mahu kepastian kerana isu ini sudah menjejaskan pendapatan kami.
“Sekarang hasil tangkapan semakin berkurangan dan untuk mendapatkan RM20 sehari pun susah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini.
Pada 23 Ogos lalu, Kosmo! melaporkan tindakan membuang sisa binaan Singapura di daerah ini menyebabkan sungai di situ semakin sempit selain tercemar hingga menjejaskan rezeki nelayan.
Nelayan mendakwa air sungai bertukar hitam dan berbau busuk terutama selepas hujan akibat alirannya yang tersekat disebabkan pembuangan sisa binaan tersebut.
Menurut Shahrizal, pihaknya juga mahu mengetahui perkembangan mesyuarat khas yang dipengerusikan Pegawai Daerah Pontian pada 24 Ogos lalu, khususnya berkaitan laporan daripada jabatan dan agensi yang terlibat.
Tambahnya, keputusan mesyuarat tersebut amat penting bagi nelayan untuk menentukan tindakan selanjutnya, termasuk mengemukakan tuntutan kepada kerajaan negeri sekiranya hasil siasatan mendapati pencemaran itu berpunca daripada kerja-kerja penambakan.
Sementara itu, Pejabat Tanah Daerah Pontian telah menghantar Borang 2A kepada Pejabat Tanah dan Galian Johor berkaitan 17 pemilik tanah yang dikenal pasti menjadikan kawasan masing-masing sebagai tapak pembuangan sisa bahan binaan dari Singapura.
Pentadbir Tanah Daerah Pontian, Hanis Musalman Salehan berkata, borang berkenaan kini dalam proses semakan sebelum tindakan lanjut diambil.
Katanya, sebahagian pemilik telah memberikan maklum balas selepas dihubungi, namun terdapat juga pemilik yang masih gagal memberikan sebarang respons.
“Bagi mereka yang ingkar mematuhi Notis 2A, tindakan penguatkuasaan akan diambil. PTD mempunyai kuasa untuk meneruskan siasatan dan membuat keputusan tanpa kehadiran pemilik tanah,” katanya ketika di sini.
Hanis berkata, ia membabitkan tanah seluas 20.23 hektar di beberapa mukim termasuk Sungai Karang, Api-Api, Rimba Terjun, Serkat dan Jeram Batu/Pengkalan Raja.
The post ‘Nak dapat RM20 sehari pun susah’ appeared first on Kosmo Online.





