92 individu ditahan lakukan aktiviti pendakian tanpa permit

30 Mar 2026 • 11:34 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Antara yang ditahan kerana disyaki menjalankan aktiviti pendakian tanpa permit di Bukit Pau di sini pada Ahad.
image is not available
Antara individu yang ditahan kerana disyaki menjalankan aktiviti pendakian tanpa permit di Bukit Pau di sini pada Ahad.

GOMBAK - Seramai 92 individu ditahan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) menerusi operasi penguatkuasaan hutan di Bukit Pau (Kemensah), Hutan Simpan Ulu Gombak Tambahan di sini pada Ahad.

JPNS berkata, operasi itu diketuai Pegawai Hutan Daerah Selangor Tengah, Mohd Hadre Mohamad bersama 22 kakitangan bermula jam 6 pagi hingga 3 petang.

"Seramai 39 lelaki, 53 perempuan termasuk sembilan warga asing berusia 21 hingga 67 tahun dikesan menjalankan aktiviti rekreasi pendakian tanpa kebenaran atau Permit Memasuki Hutan Simpanan Kekal (Borang 6) yang dikeluarkan JPNS.

"Mereka dipercayai menyertai acara anjuran badan bukan kerajaan (NGO) dalam Hutan Simpan Kekal yang tidak mendapat kebenaran oleh JPNS," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

JPNS berkata, penganjur dan kesemua individu terbabit ditahan dan dibawa ke Balai Polis Taman Melawati bagi tujuan laporan untuk tindakan siasatan lanjut oleh pihaknya.

"Penggemar aktiviti rekreasi dan penganjur acara dinasihatkan supaya peka akan keperluan Permit Memasuki Hutan Simpanan Kekal terlebih dahulu sebelum menjalankan acara.

"Tindakan tegas boleh diambil kerana perbuatan tersebut adalah kesalahan di bawah Seksyen 47, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985," katanya.