92 projek pembinaan masjid diluluskan sejak 2023

LocalPolitics
3 Aug 2026 • 12:06 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 92 projek pembinaan masjid diluluskan sejak 2023

PETALING JAYA – Sebanyak 92 projek pembinaan masjid di seluruh negara telah diluluskan sejak 2023 hingga Jun lalu dengan jumlah peruntukan mencecah RM160.82 juta bagi memenuhi keperluan pertambahan komuniti Islam di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, daripada jumlah itu, 54 projek telah siap dilaksanakan, 16 projek sedang dalam pembinaan manakala baki 22 projek berada di peringkat pra pelaksanaan atau proses perolehan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Senator Mohd. Hasbie Muda yang meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah masjid baharu yang telah dibina atau sedang dalam pelaksanaan di Dewan Negara hari ini.

Menurut Marhamah, pembinaan masjid merupakan manifestasi komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh syiar Islam, selain memenuhi keperluan umat Islam selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Sebagai contoh, di Wilayah Persekutuan, kerajaan telah berjaya menyiapkan pembinaan Masjid Az-Zahrawi di Hospital Kuala Lumpur dengan kos keseluruhan RM15 juta,” katanya.

Beliau berkata, setiap cadangan pembinaan masjid baharu dibuat berdasarkan perakuan dan pengesahan pihak berkuasa agama negeri dengan mengambil kira keperluan sebenar kariah termasuk pertambahan penduduk Islam, kapasiti masjid sedia ada, kesesuaian tapak, status tanah serta komitmen pembiayaan kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan turut bekerjasama dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa agama negeri untuk menaik taraf serta membaik pulih masjid dan surau sedia ada secara berperingkat melalui kaedah pembiayaan bersama, tertakluk kepada keutamaan dan kemampuan kewangan.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan, Marhamah berkata, kerajaan melihat masjid bukan sekadar sebagai tempat ibadah, malah institusi yang menyumbang kepada pembinaan masyarakat harmoni, berilmu dan saling menghormati.

Tambahnya, Jakim bersama jabatan agama Islam negeri sentiasa menggalakkan masjid melaksanakan program mesra komuniti seperti gotong-royong, kebajikan termasuk food bank serta aktiviti riadah yang melibatkan pelbagai kaum dan lapisan masyarakat. – KOSMO! ONLINE

The post 92 projek pembinaan masjid diluluskan sejak 2023 appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved