Kerajaan lulus 92 projek pembinaan masjid baharu sejak 2023

3 Aug 2026 • 1:12 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kerajaan lulus 92 projek pembinaan masjid baharu sejak 2023

KUALA LUMPUR: Hampir 100 projek berkaitan pembinaan masjid dengan jumlah peruntukan sebanyak RM160.82 juta diluluskan sejak Kerajaan Madani mengambil alih Putrajaya hingga kini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, kos pembangunan masjid dipersetujui untuk ditanggung secara bersama oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Sejak 2023 hingga kini, menurut beliau, 92 projek berkaitan pembinaan masjid diluluskan di seluruh negara.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 54 projek telah siap dilaksanakan dan 16 projek kini sedang dalam pelaksanaan. Manakala, 22 projek lagi berada di peringkat pra pelaksanaan atau dalam proses perolehan.

“Sebagai contoh, di Wilayah Persekutuan, Kerajaan telah berjaya menyiapkan pembinaan Masjid Az-Zahrawi, Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan kos keseluruhan sebanyak RM15 juta,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda mengenai jumlah masjid baharu yang telah dibina atau sedang dalam pelaksanaan pada era kerajaan hari ini.

Marhamah berkata, pertimbangan pembinaan masjid baharu dibuat berdasarkan perakuan dan pengesahan Pihak Berkuasa Agama Negeri dengan mengambil kira keperluan sebenar kariah.

Jelasnya, antara faktor utama yang dinilai iaitu pertambahan dan kepadatan penduduk Islam, kapasiti serta jarak masjid sedia ada, kesesuaian tapak, status tanah dan komitmen pembiayaan daripada Kerajaan Negeri.

“Pendekatan ini memastikan pembinaan masjid benar-benar memenuhi keperluan komuniti setempat.

“Di samping pembinaan baharu, kerajaan juga bekerjasama erat dengan Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Agama Negeri bagi memastikan kerja-kerja menaik taraf dan membaik pulih masjid serta surau yang sedia ada dapat dilaksanakan secara berperingkat melalui kaedah pembiayaan bersama, tertakluk kepada keutamaan, keperluan dan kemampuan kewangan,” katanya.

Tambahnya, kerajaan akan terus memperkukuh institusi masjid sebagai nadi pembangunan dan kesejahteraan masyarakat.

“Masjid bukan sahaja menjadi tempat ibadah, malah berfungsi sebagai pusat penyatuan ummah, pendidikan, dakwah, kebajikan dan pembangunan komuniti.

“Insya-Allah, dengan komitmen berterusan kerajaan Madani ini, Islam akan terus tumbuh, mekar dan subur di bumi Malaysia,” katanya. – UTUSAN 

 

The post Kerajaan lulus 92 projek pembinaan masjid baharu sejak 2023 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved