989 pelajar di Labuan berdepan isu pengangkutan ke sekolah

LocalFamily & Parenting
7 Sep 2026 • 5:08 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 989 pelajar di Labuan berdepan isu pengangkutan ke sekolah

PETALING JAYA– Seramai 989 pelajar daripada 25 sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan dikenal pasti berdepan masalah kehadiran ke sekolah, dengan isu pengangkutan antara faktor utama yang direkodkan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh berkata, menerusi Inisiatif Kemudahan Pengangkutan Pelajar ke Sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan, kerajaan berusaha memastikan masalah pengangkutan tidak terus menjadi penghalang kepada pelajar untuk mendapatkan pendidikan.

Menurut beliau, sebagai permulaan, seramai 437 pelajar daripada enam sekolah akan menerima manfaat menerusi inisiatif berkenaan.

Katanya, Jabatan Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Labuan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak industri bagi menjayakan inisiatif itu.

Kerjasama tersebut turut membabitkan Persatuan Pengusaha Bas Mini Labuan dalam menyediakan kemudahan pengangkutan kepada pelajar yang memerlukan.

“Ada anak yang mahu ke sekolah. Yang menghalang bukan cita-cita tetapi perjalanan untuk sampai ke tempat mereka membina masa depan.

“Masa depan mereka tidak sepatutnya tersekat hanya kerana sukar untuk sampai ke sekolah,” katanya dalam kenyataan di media sosial hari ini.

Hannah berkata, usaha berkenaan diharap dapat membantu meningkatkan kehadiran pelajar ke sekolah sekali gus mengurangkan risiko keciciran dalam kalangan murid yang berdepan kekangan pengangkutan.

Beliau menegaskan, akses kepada pendidikan perlu dipastikan tidak terjejas hanya disebabkan masalah untuk mendapatkan pengangkutan, terutama bagi pelajar yang tinggal di kawasan yang berdepan kekangan akses.- KOSMO! ONLINE.

The post 989 pelajar di Labuan berdepan isu pengangkutan ke sekolah appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved