Usianya baru 11 tahun, namun keberanian Nur Aamily Saffiya Muhd Zabari Izyan melangkah ke pentas antarabangsa sudah cukup membanggakan apabila murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tok Mahat itu mengukir kejayaan dalam pertandingan pidato umum di Dubai dan United Kingdom.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, menyifatkan pencapaian murid berkenaan sebagai gambaran keyakinan yang perlu diterapkan dalam diri anak-anak untuk berani mencuba, bercakap dan meneroka ruang baharu.


Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, kejayaan Nur Aamily bukan sekadar mengenai pingat yang dibawa pulang, sebaliknya mencerminkan potensi besar yang boleh diterokai sejak usia muda.
“Februari lepas dia berucap di Dubai dan pulang dengan pingat perak. Ogos dia terbang pula ke University of Surrey di United Kingdom.
“Kali ini bukan sahaja menang emas Public Speaking (pidato umum), malah menjadi antara tiga peserta terbaik keseluruhan bagi kategori Bahasa Inggeris.
“Sebagai Menteri Pendidikan, inilah keyakinan yang kita mahu tumbuhkan dalam diri anak-anak kita. Sebagai Ahli Parlimen Nibong Tebal pula, saya tumpang bangga. Ini anak kita,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini, selepas menyantuni murid berkenaan.

Dalam pertemuan itu, Fadhlina turut menyampaikan sebuah iPad kepada Nur Aamily bagi membantu pembelajarannya, selain diharap menjadi teman kepada murid berkenaan untuk terus meneroka lebih banyak perkara.
Beliau berkata, kejayaan Nur Aamily tidak seharusnya diukur menerusi pingat semata-mata, tetapi keberaniannya membuka ruang kepada pengalaman dan peluang lebih luas pada usia muda.
“Saya suka melihat anak-anak begini. Bukan semata-mata kerana pingat yang dibawa pulang, tetapi kerana pada usia 11 tahun, dunianya sudah begitu luas untuk diteroka,” katanya.
Fadhlina turut berharap Nur Aamily terus melangkah jauh dan mencipta lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.

Terdahulu, kisah kejayaan Nur Aamily mendapat perhatian selepas murid berkenaan memenangi pingat emas kategori pidato umum pada pertandingan iWISE London Global Final 2026 di University of Surrey.
Pertandingan berkenaan menghimpunkan kira-kira 500 peserta dari 29 negara, dengan Nur Aamily turut menduduki tempat ketiga bagi anugerah Best Performer selepas bersaing dengan 50 peserta.
Perjalanan Nur Aamily ke pentas antarabangsa bermula apabila menyertai pusingan kelayakan di Malaysia secara dalam talian sebelum layak ke Final Dubai Global pada Februari lalu dan membawa pulang pingat perak.
Sumber: FB Fadhlina Sidek





