[VIDEO] Terperangkap 2 jam dalam kemalangan selepas selekoh Janda Baik

7 Sep 2026 • 4:21 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: [VIDEO] Terperangkap 2 jam dalam kemalangan selepas selekoh Janda Baik

PETALING JAYA – Pengguna Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) menuju ke Pantai Timur berdepan kesesakan lalu lintas selepas kemalangan dilaporkan berlaku berhampiran Bukit Tinggi, hari ini.

Menerusi perkongsian di media sosial, beberapa pengguna jalan raya memaklumkan trafik bergerak perlahan sehingga menyebabkan mereka terperangkap dalam kesesakan selama kira-kira dua jam.

Seorang pengguna @FirdZs, mendakwa sudah dua jam berada dalam kesesakan selain memaklumkan terdapat lencongan yang dibuka bagi mengatasi laluan terhalang.

“Dah dua jam dalam jem (sesak), ada lencongan dia buka tapi kereta aku dah ke depan, membuang dalam kereta la jawabnya,” katanya menerusi perkongsian tersebut.

Sementara itu, pengguna @malx_core menasihatkan orang ramai yang baru bergerak dari Kuala Lumpur menuju ke Pantai Timur supaya mempertimbangkan laluan lama bagi mengelakkan kesesakan.

“Yang mana nak pergi Pantai Timur tu baru nak gerak dari Kuala Lumpur, aku sarankan kalian ikut jalan lama keluar dekat Bentong. Jangan ikut lebuh raya sebab baru je kemalangan tadi, lori dengan lori terus dua lorong terhalang.

“Lokasi kejadian selekoh lepas Janda Baik. Buka Maps (aplikasi peta) sebelum gerak,” katanya.

Seorang lagi pengguna @pweeeeety.ryn, turut memaklumkan laluan Kuala Lumpur ke Bentong ditutup sementara susulan kejadian berkenaan.

Dalam pada itu pengguna lain dikenali sebagai nrain.gee berkata, sebuah lori tangki dilaporkan melintang dan menghalang dua lorong di laluan dari Genting Sempah menghala ke Bentong.

“Dari Genting Sempah menghala ke Bentong ada tanker melintang tutup dua lane. Ada lencongan laluan lain,” katanya.

Berdasarkan kemas kini Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di Facebook pada pukul 12.32 tengah hari, kemalangan berlaku di Kilometer 44.2 arah timur (Bukit Tinggi).

LLM memaklumkan lorong laju dan sebahagian lorong perlahan terhalang, manakala lorong kecemasan masih boleh dilalui.

Dalam perkembangan berkaitan, LLM menerusi Pusat Pengurusan Trafik dan Highway Crisis Control & Command Centre (Hi4C) memaklumkan keadaan trafik di beberapa lebuh raya bertol di Semenanjung bergerak perlahan setakat pukul 2.16 petang tadi.

Bagi Lebuh Raya KLK, trafik dilaporkan bergerak perlahan dari Gombak ke Genting Sempah berikutan kerja penyelenggaraan di Kilometer 21.10 hingga Kilometer 24.20 yang menyebabkan lorong kiri dan tengah ditutup.

Selain KLK, beberapa lebuh raya lain turut merekodkan pergerakan trafik perlahan pada petang ini.

Di Lebuh Raya Baru Lembah Klang, trafik perlahan dari Setia Alam ke Shah Alam susulan kemalangan di Kilometer 7.6 arah utara yang menyebabkan lorong kanan terhalang.

Di Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, trafik perlahan dilaporkan dari Plaza Tol Sungai Besi ke pusat bandar, manakala arah selatan membabitkan laluan Senawang ke Pedas Linggi serta Sedenak ke Kulai.

LLM memaklumkan laluan Senawang-Pedas Linggi terjejas susulan kerja penyelenggaraan di Kilometer 247.9 hingga Kilometer 245.9 dengan lorong kiri ditutup. – KOSMO! ONLINE

View on Threads

 

The post [VIDEO] Terperangkap 2 jam dalam kemalangan selepas selekoh Janda Baik appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved