Majoriti dapat bekalan air semula, tiga wilayah pulih minimum 70 peratus

9 Dec 2020 • 1:17 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SHAH ALAM, 9 DIS: Sebahagian besar kawasan yang terjejas bekalan air akibat pencemaran sungai semalam pulih sekurang-kurangnya 70 peratus tengah hari ini.

Empat wilayah iaitu Kuala Lumpur, Petaling, Hulu Selangor dan Kuala Selangor pulih sepenuhnya, sementara Kuala Langat pula dapat bekalan hingga 80 peratus.

“Sehingga jam 12 tengah hari, bekalan air telah stabil di 731 dari 861 kawasan (84.9 peratus) yang terjejas,” kata Pengurusan Air Selangor (Air Selangor).

“Usaha menstabilkan agihan bekalan air terus giat dilakukan bagi memastikan 130 kawasan yang masih lagi terjejas mendapat bekalan air.”

Ketua Komunikasi Korporatnya Elina Baseri memaklumkan wilayah Klang/Shah Alam pulih 74.9 peratus, sementara Gombak mencapai 70 peratus.

Air Selangor menambah bantuan bekalan alternatif melalui pili awam dan pusat khidmat setempat (PKS) masih disediakan untuk kemudahan pengguna.

Ia turut menasihatkan pengguna mematuhi peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat semasa mengambil air dari lori tangki, PKS dan pili awam.

Maklumat terkini dimaklumkan melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas akibat pencemaran Sungai Selangor tengah malam semalam.

Senarai kawasan yang menerima air berperingkat-peringkat selepas bekalan distabilkan dimuatkan di Facebook syarikat berkenaan.

The post Majoriti dapat bekalan air semula, tiga wilayah pulih minimum 70 peratus appeared first on Selangorkini.