SHAH ALAM, 9 DIS: Bekalan air 731 kawasan yang terjejas susulan pencemaran Sungai Selangor kembali stabil setakat jam 12 tengah hari.
Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) memaklumkan usaha memulihkan bekalan melibatkan 130 kawasan lagi terus giat dilakukan.
Agensi itu berkata wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor pulih sepenuhnya, manakala Kuala Langat pulih 80 peratus.
“Klang/Shah Alam pula pulih 74.9 peratus sementara Gombak mencapai 70 peratus,” maklumnya.
Air Selangor menambah bantuan bekalan alternatif melalui pili awam dan pusat khidmat setempat (PKS) masih lagi disediakan untuk kemudahan pengguna terjejas.
Agensi itu turut menasihatkan pengguna untuk mematuhi peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat semasa mengambil bekalan air daripada lori tangki, PKS dan pili awam.
Maklumat bekalan air dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.
Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran Sungai Selangor mulai tengah malam semalam.
Kawasan-kawasan yang menerima air berperingkat selepas bekalan distabilkan seperti dimuatkan di Facebook syarikat berkenaan.
The post Lebih 80 peratus kawasan dapat semula bekalan air appeared first on Selangorkini.

