MB: Tiada gangguan bekalan air, empat LRA kembali operasi

8 Dec 2020 • 7:56 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SHAH ALAM, 8 DIS: Empat Loji Rawatan Air (LRA) yang dihentikan tugas berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor kembali beroperasi awal pagi tadi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tahap pencemaran LRA Rantau Panjang dan Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2, 3 mencapai 0 TON (nombor bau nilai ambang).

“Saya dimaklumkan bahawa bacaan 0 TON dicapai setelah usaha mengatasi pencemaran dibuat oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

“Bekalan air akan pulih seperti biasa tanpa sebarang gangguan kerana pencemaran berjaya diatasi dalam masa beberapa jam oleh petugas dan agensi Kerajaan Negeri,” katanya menerusi Facebook.

Sementara itu, Air Selangor dalam kenyataan berasingan memaklumkan LRA Rantau Panjang beroperasi semula pada 3.30 pagi manakala LRA SSP 1,2 dan 3 jam 5 pagi selepas bacaan 0 TON direkodkan tiga kali berturut-turut.

Terdahulu, LRA Rantau Panjang dihenti tugas jam 11.30 malam tadi dan SSP 1,2,3 pada 1 pagi.

Henti tugas itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di 1,274 kawasan di wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

The post MB: Tiada gangguan bekalan air, empat LRA kembali operasi appeared first on Selangorkini.