Kad fizikal lengkap suntik vaksin belum dikeluarkan, hanya sijil digital

23 Jul 2021 • 3:47 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

PUTRAJAYA, 23 JULAI: Kerajaan belum mengeluarkan sijil lengkap pengambilan dos vaksin berbentuk kad yang dicetak, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.

Beliau juga menegaskan bahawa sebarang kad yang dijual di pasaran dan ditularkan baru-baru ini, bukan dikeluarkan oleh kerajaan.

“Tidak ada kad fizikal, hanya ada sijil digital di aplikasi MySejahtera. Itu sahaja,” katanya dalam sidang media perkembangan PICK bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba di sini hari ini.

Dr Adham turut menegaskan bahawa kad tersebut tidak diiktiraf kerajaan atau diterima sebagai bukti telah melengkapkan dos suntikan vaksin.

Menurutnya kerajaan akan mengeluarkan MY Covid-19 Vaccination Badge dalam bentuk kad dicetak tidak lama lagi sebagai bukti bahawa seseorang individu telah menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Hanya sijil digital dalam aplikasi MySejahtera sahaja diakui kerajaan. Buat masa ini, kami menunggu kelulusan Kabinet untuk keluarkan MY Covid-19 Vaccination Badge,” katanya.

-BERNAMA

The post Kad fizikal lengkap suntik vaksin belum dikeluarkan, hanya sijil digital appeared first on Selangorkini.