Baru–baru ini, kawasan Lembah Klang dan Selangor dilanda banjir terburuk dalam sejarah dan mengakibatkan lebih 40 orang terkorban dan lebih 30 ribu orang terpaksa berpindah ke Pusat Penempatan Sementara (PPS). Selain itu, negeri Pahang antara yang teruk terkesan dengan banjir kali ini. Seperti kebiasaan yang berlaku setiap tahun iaitu musim tengkujuh selalunya akan memberi kesan kepada negeri–negeri di pantai timur termasuklah Kelantan, Terengganu, dan Pahang. Kali ini, langsung tidak dijangka hujan selama 3 hari di Lembah Klang dan sekitarnya menyamai kadar hujan setahun.
Ia telah mengakibatkan air sungai melimpah dan air di empangan pada paras sangat bahaya. Paling teruk apabila ada tempat seperti di Taman Sri Muda, Shah Alam air sudah melebihi 2 meter. Rumah taman yang selama ini tidak pernah banjir, terus dinaiki sehingga 1 tingkat penuh, ada juga pangsapuri yang airnya naik sehingga tingkat kedua. Keadaan ini telah memperlihatkan semangat Keluarga Malaysia kerana bantuan bot, makanan, penyelamat, keperluan asas harian banyak diberi oleh pasukan NGO, gabungan rakyat yang datang dari pelbagai negeri, bangsa, dan agama. Perkara ini telah banyak membantu pasukan ATM, Polis, Bomba, dan APM dalam memberi perkhidmatan bantuan kepada mangsa banjir.
Pengajaran ini telah memberi kita semua satu tanda bahawa langkah berjaga–jaga harus diambil, bak kata pepatah sediakan payung sebelum hujan. Tiada istilah tempat yang berisiko rendah banjir kerana ada tempat yang tidak pernah dinaiki air juga terkesan. Di sini saya kongsikan beberapa persediaan yang boleh kita ambil untuk diri dan rumah kita.
BELI JAKET KESELAMATAN DAN PELAMPUNG KECEMASAN

Dua barang ini selalunya dilihat di tepi pantai, kapal terbang, feri, bot atau tempat peranginan yang mempunyai aktiviti air sahaja. Jarang sekali jaket dan pelampung ini dibeli dan diletakkan di rumah kita. Hal ini kerana ada di kalangan kita yang tidak langsung terfikir untuk membuat persediaan ini. Dua benda penting ini harus ada di rumah kita untuk tujuan kecemasan. Kita juga perlu teliti dan membuat kajian dahulu tentang jenama dan pembekal yang sah sahaja kerana takut tertipu dengan barang yang tidak mengikut piawaian dan akan membahayakan keselamatan kita nanti.
MENYIMPAN MAKANAN SEDIA DIMAKAN (READY TO EAT FOOD)
Makanan ini juga kita sering lihat jika kita menaiki kapal terbang. Ada syarikat penerbangan yang menggunakan makanan ini untuk disajikan kepada penumpang bagi perjalanan yang dekat dan singkat. Pembekal dan pencetus bagi produk sebegini adalah jenama Brahim’s. Ia mudah dan cepat kerana hanya perlu panaskan sahaja dan boleh terus makan. Dalam keadaan darurat adalah sangat penting bagi kita menyimpan makanan ini. Akan tetapi kita juga perlu merekod dan membuat pemeriksaan berkala bagi mengelakkan makanan itu melepasi tarikh luput. Jika keadaan hujan yang tidak berhenti selama beberapa jam, kita sudah boleh bersedia untuk keluar membeli barangan jika kita tidak mahu menyimpan lama.
MEMBELI KIT KECEMASAN

m Pexels
Kotak kecemasan juga jarang dilihat di dalam rumah kita, boleh dikatakan 70% rakyat Malaysia tidak mempunyai peti kecemasan ini. Mungkin dilihat tidak penting, tetapi waktu banjir dan darurat seperti yang melanda kita baru–baru ini, kita tidak boleh menjangka apa jua perkara boleh berlaku. Kit ini juga banyak dijual di farmasi, kedai ataupun membeli dalam talian. Pastikan kita menambah ubat yang kita wajib makan setiap hari untuk bekalan beberapa hari atau seminggu. Ingat, perlu buat pemeriksaan berkala bagi mengelakkan ubat melepasi tarikh luput.
Selepas ini saya akan kongsikan lagi persediaan dan tips hadapi banjir dengan tenang dan selamat. Sama–sama kita belajar dari kejadian ini dan semoga kita semua dipermudahkan urusan dalam menguruskan kehidupan pasca banjir kepada yang terkesan.
Selamat semua ya!
Abdul Muhaimin adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!
*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

