
TAWAU: Seorang bapa kepada lapan anak, 47, terlepas tali gantung selepas rayuannya ke atas hukuman mati kerana mengedar 75.56g syabu dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan pada Selasa.
Rashid Othman, 47, bagaimanapun, dipenjara 15 tahun dan diperintah dikenakan sebatan rotan 10 kali selepas dia mengaku bersalah dalam prosiding secara atas talian itu, ke atas pertuduhan alternatif memiliki dadah.
Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, Datuk Supang Lian dan Dato’ Nordin Hassan, memerintahkan Rashid menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia ditahan pada 7 September, 2016.
Rashid, yang tidak mempunyai dokumen pengenalan, pada 15 Mac 2019, dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah mengedar dadah di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pukul 2 petang pada 7 September, 2016 di tepi jalan Kg Kurnia Jaya, Batu 4 Jalan Apas.
Ketika menjatuhkan hukuman itu, mahkamah rayuan berkata hukuman itu mengambil kira tahap keseriusan kes dadah di seluruh negara serta sebagai memberi kesedaran kepada orang ramai dan penjenayah mengenai betapa seriusnya kes dadah.
Pertuduhan pindaan di bawah Seksyen 39 A (2) Akta Dadah Berbahaya itu memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup untuk satu tempoh tidak kurang lima tahun dan disebat tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, semasa mitigasi peguam Jhasarry Kang dan Lo Yii Fui yang mewakili Rashid berhujah, tertuduh tiada rekod jenayah dan sebenarnya ketika itu diperangkap oleh seseorang dikenali sebagai ‘Panjang’ dan Rashid hanya melakukan pekerjaan yang ditawarkan oleh lelaki itu serta akan mendapat bayaran RM50.
Mahkamah turut diberitahu bahawa Rashid bekerja sebagai buruh dan merupakan pencari rezeki tunggal untuk keluarganya.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari tampil untuk pendakwaan sebagai responden.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
