
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berumur 46 tahun dipenjara sejumlah 12 tahun dan dikenakan dua sebatan rotan kerana melakukan gangguan seksual fizikal terhadap anak perempuannya yang berusia lapan tahun.
Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohd Salim menjatuhkan hukuman itu kepada lelaki tersebut selepas memutuskan bahawa pendakwaan telah membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah terhadap lelaki itu.
Lelaki itu didapati bersalah melakukan kesalahan itu dengan menggosokkan kemaluannya pada kemaluan kanak-kanak itu antara Mac dan Jun 2020 di sebuah bilik sewa di Inanam.
Kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Untuk kesalahan itu, dia dipenjara 10 tahun.
Disebabkan hubungan antara tertuduh dan mangsa, mahkamah menjatuhkan hukuman tambahan dua tahun penjara dan dikenakan dua sebatan rotan.
Bagaimanapun, mahkamah memerintah lelaki itu menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkapnya pada 22 November 2020.
Pendakwaan telah memanggil enam saksi semasa perbicaraan, sementara hanya seorang saksi pembelaan memberi keterangan.
Timbalan Pendakwa Raya Dacia Jane Romanus menjalankan pendakwaan sementara lelaki itu tidak diwakili.
Dalam kes lain, seorang lelaki berumur 32 tahun dipenjara enam tahun dan dikenakan satu sebatan rotan kerana melakukan gangguan seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.
Alhezam Rabilee mengaku bersalah di hadapan Hakim Noor Hafizah, kepada tuduhan terhadapnya pada Rabu.
Dia melakukan kesalahan terhadap kanak-kanak itu dengan meraba kemaluan mangsa pada pukul 4 petang 19 September tahun ini di dalam sebuah tandas di sebuah kampung di Ranau.
Kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintah supaya Alhezam menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkapnya pada 21 September tahun ini.
Semasa rayuan, Alhezam yang tidak diwakili, meminta hukuman ringan dengan mengatakan dia perlu menanggung isteri dan dua anaknya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Fauzi Acho menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan atas sebab ia membabitkan kesalahan berat.
Hukuman harus memberi bukan saja pengajaran kepada Alhezam tetapi juga mengekang kekerapan jenayah itu.
Mahkamah diberitahu bahawa kejadian itu berlaku apabila kanak-kanak itu pergi ke tandas sambil ditemani ibu saudaranya, tetapi tiada air di tandas itu.
Alhezam yang berada di tandas itu ketika itu, kemudian memasuki tandas tersebut dan membantu mangsa membuka paip air.
Apabila mangsa selesai, dia keluar tetapi dihentikan oleh Alhezam yang kemudiannya menutup pintu tandas itu.
Semasa dalam tandas, Alhezam tiba-tiba memasukkan tangannya di dalam seluar mangsa dan meraba kemaluannya.
Selepas kejadian itu, Alhezam menyuruh mangsa yang sedang menangis, supaya tidak memberitahu ibunya mengenai kejadian itu.
Susulan laporan polis yang dibuat oleh ibu mangsa, Alhezam ditangkap.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

