
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berumur 41 tahun dipenjara lapan tahun dan dikenakan 10 sebatan rotan kerana memiliki 46.23 gram syabu.
Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohd Salim menjatuhkan hukuman itu kepada Ajirin Rasin yang mengaku kepada tuduhan terhadapnya.
Ajirin memiliki dadah itu pada pukul 8 malam 16 Februari tahun ini di SJR 3 di Jalan Ranau Tambunan, Ranau.
Kesalahan di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya itu membawa hukuman penjara antara lima tahun dan penjara seumur hidup, serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Ajirin diperintah supaya menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkapnya.
Dalam rayuannya, peguam Luqman Syawan Zabidi yang menggantikan peguam Luke Ressa Balang, bagi mewakili Ajirin, meminta hukuman ringan dengan mengatakan anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarganya.
Luqman berkata Ajirin mempunyai isteri, anak-anak dan ibunya.
Menurut Luqman, anak guamnya amat menyesali perbuatannya dan ingin mengubah hidupnya selepas dibebaskan dari penjara.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nidzam Ahmad menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan.
Sementara itu, sebuah syarikat didenda sejumlah RM25,000 kerana membenarkan lima pendatang tanpa izin untuk tinggal di premisnya.
Hakim Mahkamah Sesyen Azreena Aziz menjatuhkan hukuman itu kepada One Stop Décor (Sabah) Sdn Bhd selepas wakilnya mengaku bersalah kepada tuduhan terhadap syarikat itu.
Syarikat tersebut didenda RM5,000 atau penjara dua bulan bagi setiap pendatang tanpa izin terbabit.
Syarikat itu didapati membenarkan lima warga Filipina tanpa dokumen itu, untuk tinggal di premisnya di Jalan Tuaran Likas, di sini, pada pukul 12.05 tengah hari 25 Mei tahun ini.
Mahkamah membenarkan syarikat membayar denda itu secara ansuran, dengan bayaran pertama RM10,000 mesti dibayar selepas prosiding dan bayaran kedua RM15,000 pada atau sebelum 8 Februari tahun depan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
