YS bantu usahawan PKS Sabah teroka pasaran global

LocalBusiness & Finance
28 Jan 2022 • 12:28 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Kumpulan Yayasan Sabah komited dalam membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini untuk meneroka pasaran sehingga ke peringkat global, sekali gus merancakkan lagi pembangunan negeri dalam pelbagai sektor utama ekonomi.

Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar berkata usaha itu dilaksanakan menerusi inisiatif seperti Program Pusat Sehenti Usahawan Global (Glopec) yang boleh membuka peluang kepada usahawan PKS untuk bersaing sehingga ke peringkat global.

“Glopec merupakan usaha berterusan Kumpulan Yayasan Sabah dengan kerjasama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) bagi merancakkan lagi usaha memperkasakan usahawan PKS (dalam kalangan) B40 dan M40 serta membuka peluang pasaran global,” katanya ketika berucap merasmikan majlis menandatangani surat tawaran Glopec di sini, pada Khamis.

Beliau berkata sebanyak 15 usahawan menandatangani surat tawaran itu untuk menyertai program Glopec.

“Program Glopec penting dalam memberikan peluang kepada usahawan bumiputera Sabah untuk meningkatkan lagi keupayaan mereka, untuk lebih berdaya saing dan dapat menyemarakkan inspirasi kepada generasi muda Sabah yang akan datang agar lebih berinovatif dalam bidang perusahaan,” katanya.

Gulamhaidar berkata terdapat beberapa kriteria serta terma dan syarat yang perlu dipenuhi untuk melayakkan mereka menyertai Glopec.

Antaranya peserta perlu mempunyai syarikat berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM); mempunyai premis atau kilang selain mempunyai satu atau lebih pensijilan seperti halal, Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) dan Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), katanya.

Beliau berkata syarat lain adalah peserta ialah bumiputera Sabah dan bahan untuk menghasilkan produk perlu diperoleh daripada B40 Sabah agar golongan B40 tidak tertinggal dalam menerima manfaat program tersebut.

“Kesemua usahawan Glopec memiliki kebolehupayaan menghasilkan produk berkualiti, memiliki potensi tinggi untuk melebarkan pemasaran produk ke pasaran antarabangsa dan bukan hanya di peringkat tempatan,” katanya.

Gulamhaidar berkata program Glopec kini dijalankan bagi pasaran United Kingdom, Perancis, Jerman, Belanda, China, Taiwan, Hong Kong, Macau, Indonesia dan Thailand.

“Saya menyeru kepada semua usahawan Glopec untuk memanfaatkan program ini sebaik mungkin demi memacu kejayaan usahawan itu sendiri.

“Program ini merupakan satu peluang perniagaan yang kita tidak boleh sia-siakan. Rebutlah peluang-peluang perniagaan dalam pasaran yang mempunyai nilai dagangan yang mencecah jutaan ringgit setiap tahun,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.