
Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin (gambar) menyuarakan kebimbangan berhubung kejadian siling runtuh di Wisma Dang Bandang, dan berharap Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menyegerakan penilaian keselamatan bangunan tersebut bagi memastikan penjawat awam selamat bekerja di sana.
“Saya pernah melawat bangunan itu sebelum ini ketika menghadiri program Jabatan Penerangan. Memang ia bangunan lama. Di Kota Kinabalu, terdapat banyak bangunan lama, rumah kedai yang terletak di kawasan lama seperti Kampung Air, Segama, Sinsuran, KK Lama, Bandaran Berjaya, Tanjung Aru, Jalan Pantai dan Lido.
“Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah memberi notis/peringatan kepada pemilik bangunan, memaklumkan mereka supaya membaiki struktur yang rosak di laluan lima kaki, kanopi rosak atau jatuh, struktur bangunan rosak, paip rosak dan bocor, paip pembetung rosak, serta pelongsor air hujan yang rosak, antara lain,” katanya pada Jumaat.
Selain itu, beliau berkata, Datuk Bandar sebelum ini pernah menggesa pemilik-pemilik bangunan supaya tidak mengabaikan notis/peringatan yang diberikan kepada mereka, kerana menurutnya, tindakan akan diambil terhadap mereka.
“Agensi-agensi Kerajaan Persekutuan juga harus memimpin melalui teladan. Untuk memastikan keselamatan bangunan lama, ia amat penting untuk pemeriksaan bangunan berkala serta pemeriksaan keselamatan kebakaran tahunan dilaksanakan dengan ketat.
“Pihak JKR harus menyegerakan penilaian keselamatan di Wisma Dang Bandang bagi memastikan penjawat awam selamat bekerja di sana,” kata Chan, mengulas insiden Khamis lalu apabila ratusan kakitangan kerajaan terpaksa mengosongkan Wisma Dang Bandang yang menempatkan beberapa agensi selepas mereka dilaporkan merasai bangunan itu bergegar.
Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Misran Bisara berkata kakitangan memberitahu pasukan tindakannya bahawa bangunan itu “bergegar” dua kali, pertama pada pukul 3.30 petang, dan mereka juga mendengar bunyi dentuman kuat di salah satu tingkat.
Beliau berkata pekerja sudah berkumpul di lokasi selamat jauh dari bangunan itu apabila pasukannya tiba. Tiada sesiapa dilaporkan cedera.
“Pasukan kami mendapati sebahagian besar siling di tingkat 11, yang menempatkan auditorium, telah runtuh. Itu mungkin bunyi dentuman kuat yang didengar oleh kakitangan,” katanya.
Misran berkata, kejadian itu bukan berpunca daripada gegaran kerana tiada orang lain melaporkan mereka merasakan tanah bergegar.
“Jabatan Kerja Raya akan membuat penilaian terhadap keselamatan bangunan sebelum kakitangan boleh kembali bekerja,” katanya.
Antara agensi yang ditempatkan di bangunan itu ialah jabatan imigresen, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, jabatan meteorologi, dan jabatan penerangan.

