DBKK beri amaran terakhir kepada pemilik rumah

5 Jan 2022 • 12:06 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

SEORANG pemilik rumah di Luyang telah diberi amaran terakhir untuk mengemas rumahnya yang tidak terjaga di Taman Kinabalu atau berisiko dikenakan tindakan undang-undang.

Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah memintanya berulang kali untuk menyelenggara tumbuh-tumbuhannya dan membuang mana-mana benda yang tidak diingini, sejak kali pertama kawasan rumahnya dilihat dalam keadaan tidak teratur empat bulan lalu.

PEGAWAI Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Jabatan Perundangan DBKK bersedia untuk melekatkan notis terakhir pada hujung Disember lalu.

Semasa pemeriksaan pada September, seorang inspektor agensi itu diingatkan kepada apa yang ditontonnya dalam satu program realiti AS.

Kakitangan ini tertanya-tanya sama ada pemilik rumah itu mungkin seorang “extreme hoarder” (tabiat suka mengumpul barang lama secara melampau) kerana timbunan sampah berbungkus yang berselerak di ruang pintu dan di sekitar halaman.

Seorang jurucakap Jabatan Kesihatan Persekitaran (HED) agensi itu berkata premis itu telah diperiksa tujuh kali secara berasingan sejak itu.

Dia berkata tiga notis telah diserahkan kepada pemilik rumah, dengan notis terbaharu dilekatkan di pintu pagar depan pada 30 Disember.

Notis ini ditandatangani oleh Mayor Datuk Noorliza Awang Alip, menurutnya.

Pekerja Jabatan Landskap DBKK mencantas dahan-dahan pada hujung September.

Mayor menekankan bahawa “kebun yang terlalu semak dan tidak diselenggara” pemilik rumah itu, serta barang dan benda-benda yang disimpan di sekeliling halaman, termasuk “timbunan sampah”, telah menjadi satu gangguan awam.

“Pemilik rumah itu diberitahu bahawa hartanahnya menimbulkan ketidakselesaan kepada orang lain yang tinggal di Lorong Angsana kerana ia menyakitkan mata selain bau busuk datang dari arah premis itu,” katanya.

“Terdapat juga kebimbangan bahawa halaman rumahnya mungkin menjadi tempat pembiakan nyamuk.”

Jurucakap itu berkata individu tersebut diberi masa tujuh hari untuk mengatur rumahnya.

“Dia diarahkan untuk mengurangkan gangguan itu dengan melakukan apa yang perlu termasuk mengalih dan membuang semua barang dan sampah.

“Pemilik rumah juga diminta membersihkan dan menyelenggara kebunnya yang sudah semak.”

Dia berkata pemilik rumah itu dimaklumkan bahawa tindakan mahkamah boleh diambil terhadapnya di bawah Seksyen 49c Ordinan Kerajaan Tempatan, jika dia gagal mematuhinya.

“Jika didapati bersalah, dia berdepan kemungkinan didenda sehingga RM1,000, dipenjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.”

Tindakan DBKK itu didorong oleh rayuan sekumpulan pemilik rumah yang tidak puas hati dengan keadaan rumah di Taman Kinabalu itu.

Individu-individu ini bimbang mengenai keadaan kawasan itu yang tidak bersih selain bau busuk yang datang dari arah premis itu.

Beberapa pemilik rumah memohon kepada pihak berkuasa tempatan, termasuk DBKK dan Jabatan Kesihatan, untuk campur tangan dalam masalah ini pada September.

STAF UPPM (kedua dari kiri) bercakap kepada pemilik rumah mengenai keadaan tumbuh-tumbuhan yang tidak diselenggara.

Jurucakap itu berkata pemeriksaan dibuat ke atas rumah itu pada 6 September, dengan kakitangan dari Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Luyang turut hadir semasa pemeriksaan ini.

“Seorang inspektor HED tidak tahan menghidu bau yang datang dari isi beg-beg sampah itu,” katanya.

“Dua pelitup muka, menutup hidung dan mulutnya, tidak banyak membantu menghilangkan bau yang kuat itu dan, buat seketika, dia mempertimbangkan untuk memakai pelitup muka ketiga dengan harapan ini dapat mengurangkan ketidakselesaan yang dirasainya.”

PEKERJA DBKK melakukan semburan kabus di Lorong Angsana pada awal September.

Sementara itu, dia berkata wakil UPPM tersebut terkejut melihat dahan-dahan dan tumbuhan menjalar terlalu semak yang melimpah dari hartanah itu.

“Pagar perimeter tidak dapat dilihat dan, jika pemilik rumah tidak ada ketika itu, tentu sedikit sukar untuk mengesan pintu masuk ke hartanah tersebut kerana sebahagiannya tersembunyi di sebalik tumbuhan semak itu.”

Dia berkata pemilik rumah itu ditanya mengenai perkara tersebut.

“Wanita itu menjelaskan bahawa beg-beg itu mengandungi sisa makanan yang dia mahu jadikan kompos. Dia memberitahu kumpulan itu bahawa kulit telur, antara sisa ini, mengeluarkan bau yang busuk apabila ia terurai.

“Bagi pokok-pokok dan tumbuhan yang melimpahi kawasan itu, dia mendakwa ia adalah ‘herba’ yang dia tanam.”

Jurucakap itu berkata, sebelum mereka pergi, kakitangan DBKK memberi amaran secara lisan pemilik itu supaya membersihkan rumahnya.

Dia berkata lima pegawai dari Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu (KKHO) menyertai kakitangan HED untuk satu lagi pemeriksaan pada 8 September.

“Petugas KKHO itu memberi ‘Notis pungutan jentik-jentik’ kepada pemilik rumah. Sampel kemudian diambil daripada cecair yang terdapat dalam pasu bunga dan bekas lain di halaman rumahnya.”

Dia berkata DBKK kemudiannya melakukan semburan kabus di premis itu dan jalan perumahan sekitar jam 5 petang pada esoknya.

Walaupun pada mulanya bersetuju untuk membuang barang tidak diingini dan mengemaskan halaman rumahnya, jurucakap itu berkata pemilik rumah itu gagal berbuat demikian.

Pemilik rumah itu juga tidak menyelenggara pokok-pokok dan tumbuhan semak di hartanahnya, menurutnya.

“Satu pasukan dari Jabatan Landskap DBKK telah mencantas dahan-dahan yang tergantung di atas pagar hartanah itu pada 22 September.”

Jurucakap Jabatan Kesihatan berkata, ujian makmal terhadap sampel larva yang diambil dari halaman rumah di Lorong Angsana telah kembali positif.

“Bahagian Perundangan kami kini sedang memutuskan tindakan seterusnya,” katanya.

Dia berkata pemilik rumah itu berisiko dikenakan denda RM10,000 kerana secara tidak sengaja membolehkan nyamuk membiak antara sampah yang bertaburan di sekitar pekarangan rumahnya.

Individu itu juga berdepan kemungkinan dipenjara sehingga dua tahun, jika didapati bersalah di mahkamah, menurutnya.

Jurucakap itu berkata ia boleh dilakukan dalam kes-kes ekstrem di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 agensi itu.

Jika Jabatan memutuskan untuk tidak memulakan prosiding undang-undang, pemilik rumah itu mungkin dikenakan kompaun RM500, menurutnya.

“Sampel larva yang diambil dari halaman rumahnya pada bulan lepas telah kembali positif dari makmal kami dan kami sedang membuat keputusan mengenai tindakan seterusnya,” katanya.

Seksyen 13 ordinan tersebut menetapkan bahawa: (1) Tiada seorang pun boleh melaku atau menjalankan apaapa tindakan yang boleh, atau yang mungkin, menimbulkan sesuatu keadaan yang boleh membiakkan dan memberi perlindungan kepada serangga pembawa penyakit, atau membenar atau membiarkan keadaan itu terjadi atau berterusan. (2) Seseorang yang melanggar subseksyen (1) bersalah atas suatu kesalahan di bawah Akta ini.

Di bawah Akta tersebut, pesalah berulang boleh didenda sehingga RM50,000, dipenjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Jurucakap itu berkata, semua pemilik rumah diwajibkan untuk memastikan premis mereka tidak menjadi habitat nyamuk.

“Mereka boleh dikenaka hukuman jika larva dikesan di kawasan rumah mereka seperti yang berlaku dalam contoh ini.”

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.