Jangan Terkejut, Caj RM1 Transaksi ATM Mulai Esok

LocalBusiness & Finance
31 Jan 2022 • 6:42 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar fail AFP

KUALA LUMPUR - Bermula esok, caj RM1 akan dikenakan ke atas pengeluaran wang tunai antara bank untuk transaksi yang dilakukan di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Pengumuman itu telah dibuat beberapa bank seperti Maybank, CIMB Bank, Citibank dan RHB Bank menerusi platform media sosial mereka sejak Disember tahun lalu.

Maybank sebelum ini memaklumkan kepada pelanggannya bahawa caj transaksi pengeluaran tunai antara bank di ATM akan dilaksanakan semula berkuatkuasa 1 Februari 2022.

“Harap maklum bahawa mulai 1 Februari 2022, caj transaksi RM1 untuk pengeluaran wang tunai antara bank di ATM akan dilaksanakan semula.

“Pelanggan Maybank masih boleh mengeluarkan wang tunai tanpa caj di ATM Maybank,” katanya menerusi satu ciapan di Twitter.

Dalam pada itu, CIMB turut mengeluarkan satu kenyataan di laman sosial, memaklumkan mengenai caj tersebut kepada pelanggannya.

“Berkuatkuasa pada 1 Februari 2022, caj transaksi RM1 akan dikenakan ke atas pengeluaran wang tunai antara bank untuk transaksi yang dilakukan di ATM atau mesin layan diri bukan CIMB Bank atau CIMB Islamic.

“Anda (pelanggan) masih boleh mengeluarkan wang tunai tanpa caj di mesin ATM atau mesin layan diri CIMB,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di media sosial mendapati majoriti mengkritik pelaksanaan semula caj transaksi tersebut.

Seorang pengguna Twitter, @Iamabrarsadiq berkata, caj RM1 itu akan menyebabkan orang ramai kembali beratur panjang di mesin ATM.

“Cajlah 10 sen saja, ni sampai RM1 kau caj. Terima kasih Keluarga Malaysia,” kata pula Mohd Kamarul menerusi satu komen di Facebook.

“Patutnya hapuskan terus caj ini,” kata  Mohd Shamin Danial.

Sebelum ini, kerajaan memperkenalkan pengecualian caj RM1 di semua mesin Malaysian Electronic Payment System Sdn Bhd (MEPS) pada 6 April 2020.

Langkah itu bagi membolehkan orang ramai mengeluarkan wang tunai daripada ATM yang berkongsi sistem MEPS semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) tanpa perlu dikenakan caj RM1.  - 31 Januari 2022