Pemimpin Keningau, Kota Marudu turut keluar Warisan

Politics
7 Jan 2022 • 4:11 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Parti Warisan Sabah Bahagian Keningau dan Kota Marudu dikatakan goyah apabila beberapa pemimpinnya meninggalkan parti itu untuk mengikuti jejak bekas naib presidennya Datuk Peter Anthony.

Naib Ketua Bahagian Warisan Keningau, Jickol Tagua; Pemangku Ketua Wanita dan Timbalan Ketua Bahagian, Julimah Anggula dan Exco Wirawati merangkap Pemangku Ketua Wirawati Keningau Fadilla Lasmin antara yang mengumumkan keluar dari parti itu,

Mereka mengumumkan keputusan mereka meninggalkan Warisan dalam satu majlis yang diadakan di Keningau pada Rabu, yang turut dihadiri beberapa Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian, AJK Wanita, Wirawati dan Wira.

“Kami memutuskan untuk meninggalkan Warisan tanpa pengaruh dan desakan mana-mana pihak. Ini adalah keputusan kami untuk menyokong kepimpinan Datuk Peter untuk menubuhkan parti baharu mesra kerajaan,” kata Jickol.

BARLUS (tengah, depan) bersama bekas pemimpin Warisan Matunggong dan Kota Marudu umum tinggalkan parti.

Pada masa hampir sama di Dewan Leegot Kg. Narandang, Matunggong, beberapa pemimpin diketuai Ketua Penerangan Warisan Kota Marudu, Barlus Mangabis turut mengumumkan keluar Warisan.

Antara yang menyertai Barlus ialah Setiausaha Bahagian Warisan Kota Marudu yang juga Ketua Wira Warisan Matunggong, Herwin Maranjak; Timbalan Ketua Perhubungan Warisan Matunggong, Jimis Monunsui; Ketua Penerangan Warisan Matunggong, Jotiol Madjamam dan beberapa AJK Bahagian serta ketua-ketua cawangan.

“Di Matunggong boleh dikatakan Warisan sudah lumpuh. Hari ini, sekitar 120 bekas pemimpin dan ahli Warisan hadir.

“Ramai lagi dijangka akan menyertai kami untuk menyokong kepimpinan Datuk Peter dalam parti baharu,” kata Jotiol. Tindakan pemimpin di Keningau dan Matunggong, Kota Marudu itu adalah yang terbaru selepas keputusan sama dibuat pemimpin di Tenom dan Sepanggar baru-baru ini.

Ia dianggap `tonik’ kepada Peter yang bakal melancarkan parti baharunya dalam masa terdekat.

Peter yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melalap, bersama Adun Limbahau, Datuk Juil Nuatim keluar dari Warisan pada 28 Disember lalu untuk menubuhkan parti baharu mesra Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.