Polis sahkan remaja lelaki hilang di Gua Musang

11 Jan 2022 • 11:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

GUA MUSANG - Polis mengesahkan kehilangan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dari Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir, dekat sini, yang ditularkan menerusi media sosial pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, laporan kehilangan remaja terbabit dibuat oleh ibunya pada jam 7 malam Selasa, selepas menyedari mangsa tidak pulang ke rumah sejak Isnin (10 Januari).

"Mangsa dipercayai keluar daripada rumah pada jam 9 malam, semalam, sebelum ibunya menyedari mangsa belum pulang ke rumah pada jam 3 pagi hari ini, dan terus mencarinya bersama keluarga sekitar kampung.

"Pihak kami telah terima laporan mengenai kehilangan mangsa malam ini dan operasi mencari dan menyelamat akan digerakkan pada hari esok (12 Januari), pada jam 8 pagi,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Mengulas lanjut, Choon Foo berkata, kawasan pencarian dengan jarak radius dua kilometer itu turut melibatkan agensi lain iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan dibantu penduduk kampung. - Bernama