GRS perlu untuk kestabilan politik Sabah: Fairuz

Politics
19 Jan 2022 • 12:15 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Ketua Armada Bersatu Negeri Sabah, Fairuz Renddan, berkata Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merupakan sebuah kerajaan gabungan yang relevan dalam usaha membawa kestabilan kepada politik tempatan di Sabah.

“Perkara ini jelas dan saya menyokong apa yang diperkatakan oleh Ketua Penerangan Bersatu Negeri Sabah, Khairul Firdaus Akhbar, baru-baru ini tentang perlunya GRS didaftarkan dan bergerak sebagai sebuah entiti politik.

“Bersatu Sabah amat yakin bahawa masa depan kita semua di Sabah, rakyat, ekonomi dan pembangunan negeri Sabah, mampu dibentuk dan dijayakan dengan kepimpinan sebuah kerajaan yang utuh dan bersatu padu, seperti GRS,” katanya.

Fairuz berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, Isnin.

Fairuz yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pintasan turut menjelaskan bahawa kesepakatan pemimpin-pemimpin dalam GRS adalah bukti bahawa pemimpin tempatan Sabah amat mengutamakan janji dan tidak memandang remeh akan amanat yang diberikan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

“Rakyat memilih kita. Kita bergerak sebagai sebuah gabungan yang dipilih oleh rakyat Sabah dan untuk tujuan itu, adalah wajar untuk kita terus bekerja bagi merealisasikan aspirasi rakyat.

“Pastinya segala usaha akan lebih mudah dan perhubungan yang terjalin antara semua parti kompenen dalam GRS akan lebih erat dan kukuh jika GRS dapat didaftarkan sebagai sebuah entiti parti, yang mana ia adalah suara dan harapan rakyat.

Fairuz turut mengajak semua rakyat dan pemimpin untuk terus berganding bahu dan bekerjasama dalam merealisasikan impian Sabah Maju Jaya.

“Tidak kira wakil rakyat atau pun rakyat, kita semua bersama bekerja, memainkan peranan masing-masing, membawa kemajuan dan kita bangkit kembali selepas berdepan semua dugaan berat yang tidak diduga,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.