
JOHOR BAHRU: Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Amira Aisya Abd Aziz diumum sebagai calon MUDA bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac depan.
Pengumuman calon pertama parti berkenaan bagi pilihan raya tersebut dibuat Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Syed Saddiq berkata pemilihan Amira Aisya, 27, dilihat bersesuaian memandangkan dia bukan sahaja tulang belakang kepada parti itu tapi turut menjadi inspirasi kepada penubuhan MUDA.
“Saya harap rakyat khususnya pengundi Puteri Wangsa akan memberi dia peluang untuk berkhidmat, sekali gus memperjuangkan hak rakyat dan menambah baik institusi pendidikan,” katanya ketika berucap pada majlis pengumuman berkenaan di Eco Cascadia di sini malam semalam.
Beliau berkata pencalonan Amira Aisya juga selaras dengan usaha parti berkenaan dalam menampilkan pimpinan muda, aktif dalam politik khidmat serta fokus dalam merangka dasar yang adil dan saksama untuk Johor.
Sementara itu, Amira Aisya yang berkelulusan undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dilahir serta dibesarkan di Kampung Melayu Majidee di sini, berhasrat untuk meningkatkan tahap ekonomi serta keselamatan di kawasan berkenaan.
PRN Johor adalah penampilan pertama parti MUDA dalam pilihan raya selepas menerima surat rasmi pendaftaran pada 28 Dis tahun lepas.-Bernama
