
Baru-baru ini nama YouTuber terkenal dari Korea Selatan, Daud Kim hangat diperkatakan di media sosial selepas tular beberapa video memperlihatkan seorang lelaki miripnya sedang menari bersama beberapa rakan di sebuah kelab malam.
Menerusi video tersebut, lelaki berkenaan dilihat galak menarik sambil memegang gelas dipercayai berisi arak.
Menerusi satu lagi video, lelaki berkenaan turut dilihat menari rapat bersama seorang wanita juga di dalam sebuah kelab.
Apa yang lebih mengejutkan apabila ada dakwaan yang mengatakan Daud Kim yang kini berada di Turki turut lari dari tanggungjawabnya sebagai suami dengan meninggalkan isterinya, Mia dan anak mereka di Korea Selatan selain berlaku kasar terhadap Mia.
Dakwaan-dakwaan ini nyata mengejutkan peminat dan pengikut Youtuber berkenaan sehingga ada yang melemparkan tuduhan yang dia hanya mempergunakan agama Islam demi konten selain mendapatkan pengaruh yang ramai.
Tidak pernah gunakan islam untuk populariti dan duit
Menyedari namanya hangat diperkatakan orang ramai, Daud Kim akhirnya tampil menafikan semua dakwaan-dakwaan tersebut.
Dia menerusi satu kenyataan di Facebook menafikan dakwaan yang dia minum arak serta ada memukul isteri dan ahli keluarganya.

Malah bekas bintang K-Pop itu menegaskan dia tidak pernah mempergunakan agama islam untuk kemahsyuran dan juga wang.
“Pertama sekali, saya tidak minum arak. Saya tidak pernah memukul keluarga saya. Saya tidak mempergunakan islam untuk nama dan wang. Saya tidak pernah mengumpulkan wang menggunakan nama Imam. Anda juga boleh bertanya kepada beliau secara langsung,” tulis Daud Kim.
Mengakui penat dengan semua tuduhan yang dilemparkan, Daud Kim turut memaklumkan yang dia bakal mengambil tindakan undang-undang bagi membuktikan kata-katanya.
“Saya benar-benar letih dengan video dan gambar yang dimanipulasi, malah ada artikel di internet yang turut menggunakannya. Saya akan mengambil semua tindakan undang-undang untuk membuktikannya,” kata Daud Kim lagi.
Tambah Youtuber itu lagi, hanya Allah yang boleh menilainya kerana Dia lebih tahu segala-galanya.
“Saya percaya pada Allah dan Nabi Muhammad. Saya tahu saya tidak sempurna. Sekiranya saya ada berbuat silap, saya akan bertaubat kepada Allah. Hanya Allah yang boleh menilai saya. Dia tahu segala-galanya.”



