
KUALA LUMPUR - Malaysia merekodkan peningkatan kes demam denggi dan Chikungunya, masing-masing 11.1 peratus serta 18 peratus sehingga minggu epidemiologi ke-7 tahun ini, berbanding tempoh sama pada 2021.
Jurucakap Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, sebanyak 4,950 kes demam denggi dilaporkan setakat ini, berbanding 4,454 tahun lalu.
Katanya, kes Chikungunya pula mencatatkan 177 kes dengan jumlah pada tahun sebelumnya adalah 150.
“Mari kita bersama-sama periksa dan pastikan persekitaran kita bebas dari tempat pembiakan Aedes.
“Tiada Aedes, tiada demam denggi dan Chikungunya,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Berdasarkan perkongsian sama, masyarakat diminta melaksanakan beberapa langkah pencegahan di dalam dan luar rumah untuk mengelakkan penyakit itu.
Jelasnya, pemeriksaan lorong belakang rumah harus dijalankan dengan membuang segala bekas yang berpotensi menakung air.
Pemeriksaan palong air hujan juga, katanya, harus dilaksanakan untuk memastikan ia tidak tersumbat, selain menggembur tanah keras di pasu kerana keadaan itu boleh menjadi tempat Aedes bertelur.
“Luangkan masa 10 minit untuk mencari dan memusnahkan tempat pembiakan Aedes. Lakukan rutin pemeriksaan dan pembersihan di dalam rumah, seperti alas penapis air, baldi, pam tandas, mangkuk tandas, kolah air, pelapik rak pinggan serta bekas jambangan bunga.
“Di luar rumah pula, periksa dan bersihkan tayar terpakai, salur air, bekas simpanan air, peralatan lama atau terbiar, tangki septik, tong cat, botol dan tin, bekas plastik, bekas makanan polisterin, alas pasu bunga dan pasu bunga serta pokok bunga berkelopak,” katanya. - Getaran, 22 Februari 2022


