Tujuh pemandu lori disaman bawa lebih muatan

27 Feb 2022 • 11:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

KUANTAN - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang mengeluarkan 38 notis saman atas pelbagai kesalahan termasuk tujuh saman lebih muatan terhadap pemandu lori dalam Ops Tutup yang diadakan sekitar daerah ini bermula Rabu hingga Jumaat lalu.

Dalam operasi yang diadakan di Jalan Kampung Lamir-Ganchong, Pekan dan kawasan Perindustrian, Gebeng di sini, sebanyak 23 lori diperiksa dan 16 daripadanya telah diambil tindakan.

Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata, kesalahan lain yang banyak dikesan dan diambil tindakan adalah berkaitan cukai jalan tamat tempoh dan kesalahan teknikal kenderaan.

Menurutnya, operasi dilakukan secara penyamaran dan rondaan menggunakan kenderaan tanpa logo dengan tumpuan kepada laluan utama kenderaan berat membawa muatan secara tidak selamat.

image is not available

"Lori-lori yang ditahan ditimbang oleh anggota Unit Penguatkuasaan Lebih Muatan (UPLM) JPJ Pahang menggunakan alat timbang mudah alih untuk mengenal pasti berat muatan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Kamarul Iskandar berkata, objektif utama operasi itu bagi memastikan para pemandu dan pengusaha syarikat kenderaan yang menjalankan aktiviti pengangkutan barangan mematuhi undang -undang dan peraturan yang telah ditetapkan.

"Ia juga diadakan berikutan kekerapan aduan diterima daripada penduduk tempatan berkaitan isu lori yang membawa lebih muatan sehingga merosakkan jalan serta membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain," katanya.