Pergaduhan Bersenjata, 6 Termasuk Ketua Kampung Ditahan

21 Mar 2022 • 9:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Pergaduhan berpunca daripada salah faham berkaitan pembinaan dan baik pulih jambatan yang terbakar di Kampung Kurnia Jaya.

TAWAU - Enam lelaki termasuk Ketua Kampung ditahan selepas dipercayai terbabit dalam pergaduhan bersenjata berhampiran kawasan kebakaran Kampung Kurnia Jaya, di sini, semalam.

Difahamkan, semua suspek berusia 20-an hingga 70-an itu ditahan di beberapa lokasi berasingan selepas rakaman video pergaduhan mereka tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner (ACP) Jasmin Hussin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

“Tiga daripada suspek ditahan ketika mendapatkan rawatan di Hospital Besar Tawau kerana cedera akibat insiden tersebut, manakala selebihnya ditahan di beberapa lokasi lain sekitar daerah ini,” katanya kepada Getaran hari ini.

image is not available
Antara mangsa yang cedera akibat pergaduhan bersenjata tersebut.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati pergaduhan itu berlaku pada jam 3 petang semalam, dipercayai berpunca daripada salah faham antara penduduk kampung mengenai isu pembinaan dan kerja baik pulih jambatan yang terjejas akibat kebakaran besar pada Khamis lalu.

“Ekoran pergaduhan itu, beberapa individu cedera, namun, tidak membabitkan kematian seperti yang tersebar di media sosial.

“Susulan insiden, lima suspek direman selama tiga hari, manakala individu yang berstatus Ketua Kampung itu pula direman sehari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Jasmin menjelaskan, pihaknya kini sedang memburu beberapa individu lain yang dipercayai turut terlibat dalam kekecohan tersebut termasuk mereka yang dikatakan menggunakan senjata.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. - Getaran, 21 Mac 2022