
Kota Kinabalu: Persatuan Hoki Sabah bangga dengan tempat ketiga yang dicapai oleh pasukan wanita dalam Liga Hoki Malaysia yang baru berakhir dan juga pada Piala Viviam May Soars.
Presidennya, Dato’Seri Anil Jeet Singh berkata keputusan itu mencapai sasaran mereka dan menunjukkan mereka berada di landasan yang betul untuk membawa sukan itu ke peringkat lebih tinggi.
Pasukan itu yang menduduki tempat ketiga dalam liga layak ke Piala Vivian May Soars, selepas menewaskan pasukan Pembangunan Kebangsaan 2-0 dalam penentuan tempat ketiga selepas tewas 0-6 kepada juara KPT-UniTen Thunderbolts pada aksi timbal balik di separuh akhir.
Dua daripada pemain pasukan, pemain pertahanan Iren Hussin dan pemain tengah Nor Asfarina Isahyifiqa terpilih menyertai pasukan kebangsaan untuk Piala Dunia Remaja Hoki FIH Wanita yang akan berlangsung di Afrika Selatan mulai 1 April.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan kejurulatihan atas usaha gigih mereka dan ia juga sebagai penghormatan kepada Allahyarham Yahya Atan yang meninggal dunia semasa kejohanan.
“Beliau merupakan salah seorang jurulatih terbaik di negara ini dan telah melakukan banyak untuk pasukan dan saya pasti beliau akan sangat berbangga dengan mereka.
“Keputusan ini menjadi petunjuk jelas bahawa pasukan wanita kita adalah antara pasukan teratas dalam liga.
“Penyertaan Iren dan Asfarina dalam skuad kebangsaan juga menunjukkan kita mempunyai pemain berkualiti dan diharap lebih ramai akan mengikut jejak mereka dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau sekali lagi menyeru Kementerian Belia dan Sukan untuk memberikan lebih banyak sokongan kewangan kepada persatuan itu.
“Kami telah banyak berkorban dari segi wang dan masa untuk berusaha meningkatkan sukan ini di negeri ini.
“Pencapain ini sudah membuktikan segalanya dan saya berharap kementerian akan memberikan lebih banyak sokongan kepada kami supaya kami dapat meningkatkan lagi pasukan,” tambahnya
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

