
Kota Kinabalu: Kelab Bolasepak Kinabalu Jaguar (KJFC) akan berdepan lawan paling kuat apabila bertemu pasukan Liga Premier, Kelantan United di pusingan pertama Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu hari ini.
Pengerusi Eksekutif KJFC, Dato’ Verdon Bahanda ketika dihubungi pada Khamis yakin pemain-pemainnya akan dapat memberikan segalanya walaupun bermain buat kali pertama dalam pertandingan itu dan menentang pasukan yang lebih berpengalaman.
“Kami tidak akan menetapkan satu sasaran yang tinggi dalam saingan Piala FA, tetapi saya yakin dengan pemain-pemain kami khususnya dengan bimbingan ketua jurulatih David (Aiyyman Johny) dan CEO merangkap pengurus pasukan Adzhar Mohamad.
“Kami juga tidak mengambil ringan Piala FA dan berdasarkan rekod kami, kami telah bermain menentang beberapa pasukan yang berpengalaman sebelum ini termasuk pasukan dari Liga Super dan terbaharu dengan pasukan Imigresen yang mempunyai ramai bekas pemain Liga Super dalam pasukan.
“Saya pasti dengan pengalaman yang kami miliki, kami akan dapat memberikan yang terbaik dengan pemain pasukan pertama kami. Kami juga sangat bersyukur mempunyai Sabri yang kembali ke dalam pasukan selepas cedera selama lebih sebulan. Kami berharap dengan kehadirannya bersama dengan pemain pasukan pertama lain yang berada di tahap terbaik, pasukan akan dapat memberikan yang terbaik menentang Kelantan United,” katanya.
Sementara itu, David berkata mereka akan berjuang habis-habisan untuk meraih kemenangan walaupun dilabel pasukan ‘underdog’.
“Kami sudah bersedia dan akan memberikan yang terbaik untuk pertandingan itu dan kami tidak akan memberikan laluan mudah kepada Kelantan United walaupun mereka mempunyai status pasukan Liga Premier dan sebagai tuan rumah.
“Saya telah mengingatkan semua pemain agar kekal fokus dan memberikan yang terbaik untuk mendapatkan keputusan positif,” katanya.
Pemain-pemain yang mungkin akan berada dalam kesebelasan utama ialah kapten Jenius Karib, Sabri Sahar, Leopold Alfonso Otong, Azwan Fattah, Zulkifly Harun, Rozaily Akhmad, Ranilson Batuil, Sakri Masri, Zaki Sapri, Ariusdius Jais dan Aidil Safee.


