
Tuaran: Parti Bersatu Sabah (PBS) pada Ahad menegaskan agar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak terburu-buru menerima parti baharu sebagai komponen gabungan parti.
Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata pihaknya masih ada kesangsian terhadap parti baharu yang mahu menyertai GRS.
“Mereka (parti baharu) seharusnya perlu membuktikan keikhlasan dan komitmen untuk berjuang sebelum bekerjasama atau bergabung dengan GRS.
“Sebaik mereka mampu meyakinkan semua akan keikhlasan mereka, PBS juga akan mengalu-alukan penglibatan mereka dalam GRS,” katanya.
Beliau berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-36 dan 37 Tahun 2022 PBS Bahagian N14 Tamparuli di Dewan Masyarakat Tun Hamdan Tamparuli di sini.
Turut hadir, Ketua Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian N14 Tamparuli merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli, Datuk Jahid Jahim dan Ketua Penerangan PBS merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai.
Menurut beliau, perjuangan PBS belum selesai dan kesemua ahli perlu bersatu hati dengan menghentikan politik atau kepentingan peribadi yang hanya memakan diri sendiri.
“Semua ahli perlu sentiasa proaktif dalam setiap perkara berikutan geo-politik negeri dan negara tertakluk kepada kesungguhan kita mencorakkan arah perjuangan parti,” jelasnya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
