
Tuaran: Parti Bersatu Sabah (PBS) sedia bertanding di kerusi parlimen Tuaran untuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada pilihan raya akan datang.
Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili (gambar) berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-36 dan 37 Tahun 2022 PBS Bahagian N14 Tamparuli di Dewan Masyarakat Tun Hamdan Tamparuli di sini, pada Ahad.
Beliau berkata, Dewan Undangan Negara (DUN) Tamparuli serta Kiulu adalah kubu terkuat PBS dan beliau yakin mereka mampu menawan Tuaran daripada Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), terutama dengan sokongan penyokong kerusi DUN Sulaman dan Pantai Dalit.
“Kami menjangkakan pilihan raya umum akan diadakan selewat-lewatnya tahun depan dan Tuaran adalah antara kawasan yang kami tumpukan sepenuhnya”.
“Jentera PBS juga sudah bersedia di setiap kawasan Tuaran dan diperkukuhkan lagi dengan penambahan keahlian dan cawangan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata semua ahli dan penyokong PBS memahami perjuangan sebenar yang sudah pun mengambil perjalanan lebih tiga dekad.
“Parti kita akan berkembang lebih jauh, dan dua Adun kita di Kiulu serta Tamparuli berkhidmat untuk akar umbi dengan baik.
“Bermula akar umbi juga, sangat jelas perjuangan parti dengan sokongan berterusan mereka kepada PBS,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) itu turut menegaskan GRS yang didaftarkan secara rasmi pada 18 Mac lalu akan terus memperjuangkan hak dan tuntutan Sabah termasuklah rakyatnya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
