Merusuh di KKIA: Peniaga, dua anak didenda RM9,000

24 Mar 2022 • 11:15 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Seorang ahli perniagaan dan dua anak lelakinya didenda sejumlah RM9,000 pada Rabu selepas mereka mengaku bersalah merusuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dua tahun lalu, berpunca daripada pengoyakan gambar bekas Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal.

Datu Mohd Akjan Ali Muhammad, 64, Mahathir Datu Mohd Akjan, 29, dan Mohd Ghazali Hanif Mohd Akjan, 23, mengaku di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles iaitu menyebabkan rusuhan bersama dua subahat yang masih bebas pada pukul 7.45 malam, 19 Jan 2020 di hadapan Kaunter Malindo Air di KKIA.

Mereka masing-masing diperintah membayar denda RM3,000 atau penjara 13 bulan.

Pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Majistret Lovely dalam menjatuhkan hukuman itu memutuskan mahkamah telah mempertimbangkan bahawa ketiga-tiga tertuduh telah mengaku salah tanpa perlu pergi ke peringkat perbicaraan serta menjimatkan masa dan perbelanjaan mahkamah selain mereka merupakan pesalah kali pertama.

“Bagaimanapun, atas kepentingan awam serta jenis kesalahan yang berleluasa, saya tidak bersetuju denda ringan dikenakan tetapi memandangkan hukuman yang boleh diperuntukkan Seksyen itu tidak mandatori untuk hukuman penjara dan pihak pendakwaan telah bersetuju tiada hukuman penjara akan dikenakan...hanya dengan denda, saya dengan ini menjatuhkan hukuman denda RM3,000 kepada setiap tertuduh jika ingkar penjara 13 bulan,” katanya.

Peguam Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon hukuman ringan dan denda paling rendah iaitu RM1,500 setiap seorang atas sebab mereka adalah pesalah kali pertama tanpa rekod sabitan terdahulu, bahawa mereka adalah pemegang MyKad tempatan, berkahwin dengan anak kecil dan disebabkan oleh kekangan kewangan akibat pandemik Covid-19 selain mereka telah mengaku bersalah tanpa perbicaraan penuh yang menjimatkan masa dan perbelanjaan mahkamah.

Nurul, sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa sebelum Rabu, pembelaan telah mengemukakan permohonan rundingan akuan terhadap hukuman dan susulan surat daripada pejabat pendakwaan bertarikh 10 Nov 2021, pihak pendakwaan bersetuju dengan permohonan rundingan akuan itu supaya mahkamah boleh mengenakan hukuman denda sahaja dengan budi bicara majistret untuk memutuskan jumlah denda tanpa had minimum dikenakan dengan syarat semua tertuduh mengaku bersalah tanpa perbicaraan penuh.

Nurul berkata, ketiga-tiga tertuduh juga memohon maaf kepada mahkamah dan juga kepada pengadu Wan Mohd Azri @ Papagomo atas insiden tersebut yang berlaku melampaui batas kerana mereka semua pada mulanya tidak pernah berniat untuk perkara itu menjadi keterlaluan sebagaimana ia berlaku akhirnya dalam kes sekarang.

“Mereka kesal dengan tindakan mereka dan berjanji untuk tidak mengulangi kesalahan sama,” kata Nurul, menambah tiga tertuduh pada asalnya tidak mempunyai niat untuk menimbulkan gangguan kerana salah seorang mereka, Akjan, sebelum kejadian itu pergi ke balai polis KKIA untuk membuat laporan mengisytiharkan hasrat mereka untuk meminta pengadu memohon maaf atas perbuatannya semasa kempen pilihan raya.

Nurul juga berkata, laporan perubatan menyebut tiada kecederaan dialami oleh pengadu.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Siti Hajar Mazlan memohon denda maksimum dengan mengambil kira pengadu mengalami kecederaan tisu lembut di leher dan tangan kiri; bahawa tindakan mereka mengancam keharmonian dan keselamatan awam; bahawa kepentingan awam mengatasi kepentingan peribadi dan untuk memberi mesej kepada orang ramai bahawa ia satu kesalahan yang serius.

Sementara itu, DPP Siti Hajar ketika mengemukakan fakta kes berkata, pengadu iaitu Wan Muhammad Azri Wan Deris, membuat laporan polis pada 20 Jan 2020 pada jam 2.31 pagi mendakwa kira-kira jam 7.45 malam pada 19 Jan tahun yang sama, dia dipukul sekumpulan lelaki di muka dan leher serta ditendang di kepala, tangan dan belakang badan di hadapan kaunter Malindo Air di KKIA.

Laporan awal polis mendapati, ketika itu pengadu sedang beratur untuk mendaftar masuk ke kaunter untuk menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur apabila dia tiba-tiba diserang satu kumpulan yang menumbuknya di kepala, tangan dan belakang badan.

Menurut pengadu, seorang daripada lelaki itu menumbuk mukanya menyebabkan dia hampir terjatuh, kata pihak pendakwaan, sambil menambah pengadu cuba melarikan diri tetapi terjatuh di kawasan berhampiran kaunter dan kemudiannya dibelasah oleh kumpulan tiga orang itu.

Siasatan polis mendapati kumpulan tiga orang itu telah memaksa pengadu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Datuk Seri Shafie Apdal selaku Ketua Menteri Sabah ketika itu berhubung tindakan pengadu mengoyak gambar Shafie semasa kempen pilihan raya kecil Parlimen Kimanis di pekan Membakut pada 16 Jan pada tahun sama pada 4.40 petang, mahkamah diberitahu.

Menurut pihak pendakwaan, pengadu merupakan salah seorang exco Pemuda Umno Malaysia yang datang ke Sabah pada 16 Jan 2020 untuk membantu jentera parti Barisan Nasional berkempen dan pada 17 Jan, tahun yang sama, pengadu bersama beberapa yang lain dalam jentera BN telah menjalankan kempen dengan mengoyakkan gambar Shafie sebagai Ketua Menteri Sabah.

Tindakan itu menimbulkan kemarahan beberapa pihak termasuk Akjan, yang mengeluarkan video berdurasi 4:04 minit meminta pengadu memohon maaf atas tindakan mengoyak gambar Shafie sebelum pengadu meninggalkan Sabah, kata pihak pendakwaan sambil menambah Akjan, Mahathir dan Ghazali kemudiannya ditahan pada 20 Jan 2020 di sini.

Pada 16 Julai 2020, ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan, dan telah dibebaskan dengan jaminan mahkamah.

Mahkamah pada Selasa (22 Mac) membatalkan waran tangkap terhadap ketiga-tiga mereka yang dikeluarkan pada 15 Mac tahun ini berikutan ketidakhadiran mereka untuk sebutan lanjut kes mereka pada hari itu.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.