
KUALA LUMPUR - Kes baharu COVID-19 merekodkan 26,250 kes semalam, sekali gus menyaksikannya kembali di bawah 30,000, selepas beberapa hari melepasi angka berkenaan.
Data Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan, jumlah kes baharu itu membabitkan 25,705 kes penularan tempatan dan 545 kes import.
Statistik itu menjadikan jumlah keseluruhan individu dijangkiti virus terbabit adalah 3,801,036 kes, termasuk 27,720 kes import sejak pandemik berkenaan melanda negara.
Menurut laman sesawang COVIDNOW pula, kes kematian baharu akibat COVID-19 meningkat bagi dua hari berturut-turut apabila merekodkan 77 kes semalam, berbanding 76 kes kelmarin.
Kematian di luar hospital (BID) turut mencatatkan peningkatan kepada 23 kes semalam daripada 21 kes dilaporkan sehari sebelumnya.
Angka terbaharu kes itu menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat COVID-19 adalah 33,720 kes, termasuk 7,018 kes BID.
Kematian baharu tertinggi dilaporkan di Pulau Pinang dengan 12 kes, diikuti Selangor dan Kelantan masing-masing 11 kes, Kedah (9), Johor (8) serta Perak (7).
Perlis dan Terengganu masing-masing merekodkan empat kes, Negeri Sembilan (3), Kuala Lumpur (3), Sabah (2) serta Melaka, Pahang dan Sarawak merekodkan satu kes di setiap negeri.
Laman sesawang sama memaklumkan, sebanyak 323,784 kes aktif dilaporkan dengan 311,946 atau 96.3 peratus menjalani kuarantin di rumah.
Individu ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) pula mencatatkan 2,780 atau 0.9 peratus orang.
Seramai 8,691 atau 2.7 peratus pesakit menjalani rawatan di hospital, manakala 367 dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dengan 211 atau 0.1 peratus memerlukan bantuan alat pernafasan.
Kes sembuh dilaporkan semalam adalah 25,089, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit pulih daripada virus itu mencecah 3,443,532 orang. - Getaran, 13 Mac 2022
