Penggodam NVIDIA Mengeluarkan Sejumlah Kod Sumber Sulit Syarikat Tersebut Dan Mengugut Untuk Memperlihatkan Lebih Banyak Lagi

TechnologyDigital
1 Mar 2022 • 11:40 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available

NVIDIA baru-baru ini dilaporkan telah diserang oleh sekumpulan penggodam dari Amerika Selatan yang nampaknya telah mencuri sebanyak 1TB maklumat sulit daripada syarikat tersebut, termasuklah merosakkan sistem emel dan juga sebahagian daripada perisian pembangun dalaman mereka.

image is not available

Walaupun data yang dicuri tersebut dikatakan telah dikunci oleh pihak NVIDIA, kumpulan penggodam tersebut mengatakan bahawa mereka mempunyai salinan data yang dicuri, dan terkini, telah mengancam NVIDIA bahawa mereka akan menyebarkan maklumat-maklumat sulit tersebut.

Menurut LAPSUS$, ia terdiri daripada kod sumber untuk perisian seperti perisian pemandu kad grafik mereka, kod sumber firmware untuk produk-produk mereka dan juga kunci untuk membuka pengehad pelombong kriptowang untuk kad-kad grafik yang mempunyai sistem LHR (limited hash rate) terbina.

image is not available

Menariknya, LAPSUS$ juga memberi amaran kepada NVIDIA untuk mengeluarkan pengehad LHR tersebut sebelum mereka mula menjual kod-kod sumber kepada sistem pengehad kriptowang tersebut untuk membantu golongan pelombong dan juga gamer, mengatakan bahawa sistem LHR menyebabkan masalah prestasi untuk melombong dan juga gaming.

Setakat ini, mereka telah mula menyebarkan fail-fail rawak yang mengandungi kod sumber yang tidak diketahui penggunaannya ke laman-laman web gelap, dengan saiz fail sebesar 75GB selepas dibuka.

NVIDIA masih belum memberikan sebarang kenyataan rasmi mengenai perkembangan terbaru isu ini, dan dikatakan masih lagi sedang menyiasat sebab bagaimana ia berlaku, dan betapa seriusnya godaman tersebut.

Sumber: VideoCardz