
Kota Kinabalu: Sebanyak 242 kilang telah beroperasi di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) di sini dengan nilai pelaburan dijana berjumlah RM1.68 bilion setakat Februari lepas, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Joachim Gunsalam.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah berkata perkembangan itu turut menyaksikan sebanyak 7,963 peluang pekerjaan diwujudkan di KKIP dengan kilang-kilang tersebut terlibat dalam pelbagai rangkaian industri.
“Sebanyak 17 entiti dalam sektor berasaskan kayu; sektor berasaskan makanan (39); sektor pergudangan (65); entiti operasi penyediaan utiliti (tujuh); entiti penyelidikan dan pembangunan, institusi latihan dan sekolah (21) serta lain-lain aktiviti berasaskan besi, getah, plastik, logistik, elektronik dan elektrik serta automotif.
“Komponen ini menyediakan sebanyak 1,516 peluang pekerjaan dengan nilai pelaburan berjumlah RM1.42 bilion. Sektor komersial menyediakan peluang pekerjaan kepada 523 orang dengan nilai pelaburan sebanyak RM48 juta,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Selasa.
Beliau menjawab soalan lisan daripada Peto Galim (PKR-Inanam) yang ingin tahu mengenai senarai syarikat atau kilang, jumlah pelaburan dan peluang pekerjaan yang disediakan serta rancangan Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah untuk membantu menangani masalah kemiskinan di negeri itu.
Joachim berkata kementeriannya tidak terlibat secara langsung dalam mengadakan program pembasmian kemiskinan tetapi pihaknya sentiasa berusaha untuk menangani isu itu dengan menarik lebih ramai pelabur dari luar untuk melabur di Sabah.
“Kementerian saya sentiasa memberikan komitmen dan terus berganding bahu dengan pemain industri bagi memastikan sektor pembuatan kekal sebagai destinasi pelaburan yang terpilih dan seterusnya meningkatkan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan,” katanya.
Pada tahun lepas, Joachim berkata Sabah menerima suntikan pelaburan asing dan domestik sebanyak RM4.47 bilion sekali gus menjana 7,400 peluang pekerjaan.
Katanya beliau optimis pelaburan itu akan memberi manfaat kepada ekonomi Sabah dari segi pertukaran wang asing dan kutipan cukai.
Pada tahun ini, katanya kementerian akan menerima satu lagi pelaburan berteknologi tinggi dari China yang akan membuka kilang pembuatan kaca solar panel di KKIP dan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian mengenai penyewaan tanah telah diadakan pada 17 Mac lepas.
Beliau berkata pembinaan kilang itu akan bermula pada pertengahan tahun ini di tanah seluas 130 ekar (52 hektar), dengan nilai pelaburan sebanyak RM2 bilion dan akan menyediakan sebanyak 1,700 peluang pekerjaan.
“Dengan adanya pelabur luar melabur di Sabah, sudah semestinya kontraktor tempatan akan diberi peluang untuk menjadi pembekal bahan mentah dan tenaga buruh. Langkah ini jelas dapat membantu menangani isu kemiskinan di Sabah kerana lebih banyak peluang pekerjaan disediakan untuk rakyat tempatan,” katanya.
Beliau berkata kementerian turut giat melahirkan lebih ramai usahawan yang berjaya seterusnya membantu mereka mengembangkan pasaran produk secara meluas.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

