
KUDAT: Seorang dari dua lelaki yang hilang selepas bot yang mereka naiki karam di Laut Perapat Tugu Mamal, Kudat petang Khamis lepas ditemukan lemas pada Jumaat.
Macklin Majaun, 29, ditemui orang awam kira kira jam 5.15 petang di kawasan perairan Membatu Laut, 3 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kudat, Ishak Jabas berkata, mayat lelaki itu diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Ishak berkata, kedua-dua mangsa, Macklin dan adik sepupunya Aewaeinder fedelex Olliong, 20, yang belum ditemui ketika laporan ini ditulis, keluar memukat ikan di laut dengan menaiki sebuah bot Khamis lepas dan tidak pulang selepas itu.
Katanya, bilik kawalan BBP Kudat menerima panggilan kecemasan pada jam 6.04 petang menerusi talian MERS999 berhubung kejadian itu.
Menurut Ishak, seramai 16 anggota bomba termasuk lima anggota
Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Zon Kudat serta empat pegawai bomba bantuan bersama dua buah bot kini dalam usaha mencari dan menyelamat.
Operasi mencari seorang lagi mangsa diteruskan pagi ini.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
