
PERSEORANGAN nombor satu badminton negara Lee Zii Jia sekali lagi digasak pada Khamis dalam perlawanan menentang Christo Popov dari Perancis, sebelum berjaya menempah tempat pada suku akhir Terbuka Jerman.
Pemain berusia 23 tahun di ranking ketujuh dunia itu terpaksa bekerja keras selama 61 minit untuk menyingkirkan pemain ke-62 dunia Popov 21-13, 18-21, 21-12, dalam pusingan kedua kejohanan itu di Westenergie Sporthalle, Muelheim.
Pada aksi suku akhir esok, Zii Jia akan berdepan cabaran dari pemenang perlawanan antara Zhao Junpeng dari China dan pemain Korea Selatan Heo Kwanghee.
Pada Rabu, juara bertahan All England itu terpaksa bermain perlawanan rubber set sebelum menewaskan Mark Caljouw dari Belanda 19-21, 21-13, 21-8 selepas 52 minit. - Bernama
