
Kota Kinabalu: Pakatan Harapan (PH) Sabah akan mengambil tindakan undang-undang untuk mencabar kesahihan penjelasan Menteri Kewangan Persekutuan, Tengku Zafrul Aziz (gambar) di Dewan Rakyat baru-baru ini, yang menyatakan formula 40 peratus pemberian hasil Persekutuan di Sabah di bawah Perkara 112 C&D tidak lagi terpakai kerana ada persetujuan baharu yang dicapai di antara Kerajaan Sabah dengan Kerajaan Persekutuan.
Dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Harapan Sabah (PH) Sabah di Ibu Pejabat Upko di sini pada Jumaat, PH Sabah menyatakan ketidakpuashatian mereka ke atas jawapan itu kerana persetujuan baharu yang dinyatakan oleh Tengku Zafrul itu dibuat semasa tempoh darurat, iaitu di antara tahun 1969 dan 1971 serta melibatkan warta kerajaan yang dirahsiakan daripada rakyat Sabah.
“PH Sabah mengalu-alukan semangat YAB Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor semasa menyampaikan ucapan di Dewan Undangan Negeri Sabah pada 24 Mac 2022 bahawa Kerajaan Sabah akan terus memperjuangkan perolehan 40 peratus hasil persekutuan di Sabah tersebut.
“Bagaimanapun, PH Sabah tidak mahu melihat ianya hanya menjadi satu retorik politik dan memberikan tempoh satu bulan kepada Kerajaan Sabah untuk mendapatkan perolehan hasil sepertimana dalam Perkara 112 C&D Perlembagaan Persekutuan, iaitu berdasarkan formula 40 peratus atau rundingan yang lebih baik,” kata PH Sabah dalam kenyataan pada Jumaat.
Kenyataan itu ditandatangani bersama oleh Presiden Upko, Datuk Seri Madius Tangau, Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew, Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon dan Pengerusi Amanah Sabah, Lahirul Latigu.
Kenyataan itu turut menyebut, jika Kerajaan Sabah gagal mendapatkan semula perolehan hasil berdasarkan formula 40 peratus tersebut dalam tempoh sebulan, PH Sabah, khususnya Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang ke mahkamah untuk mencabar perkara itu.
“PH Sabah berpendapat jika benar ada warta kerajaan yang dirahsiakan daripada rakyat Sabah berhubung pemberian hasil 40 peratus itu dan dibuat semasa tempoh darurat, ia merupakan satu bentuk penipuan ke atas pembentukan Negara Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963.
“PH Sabah akan terus menjunjung Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Perlembagaan Negeri Sabah bagi menuntut hak-hak Sabah sepertimana dalam Perjanjian Malaysia 1963,” kata mereka.
Susulan itu juga, PH Sabah memutuskan akan mengadakan satu forum melibatkan pengamal-pengamal perundangan dengan rakyat Sabah yang prihatin untuk membicarakan kegagalan Kerajaan Persekutuan menunaikan pemberian hasil berdasarkan formula 40 peratus sepertimana dalam Perlembagaan dan isu-isu yang bersangkut paut secara spesifik dengan Perkara 112 C&D itu.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.



