Pekerja maut: Dua syarikat didenda RM35,000

9 Apr 2022 • 12:18 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Dua syarikat didenda sejumlah RM35,000 kerana melakukan kesalahan di bawah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang mengakibatkan kejadian maut pekerja masing-masing.

Syarikat itu ialah SLDB Management Sdn Bhd dan Englen Manufacturing Sdn Bhd.

Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus memerintahkan SLDB Management Sdn Bhd membayar denda RM15,000 atau waran levi akan dikeluarkan kepada syarikat itu, selepas wakilnya mengaku bersalah kepada pertuduhan terhadap syarikat itu.

Mahkamah turut memerintahkan syarikat itu membayar pampasan RM5,000 kepada wakil keluarga mangsa dan pembayaran pampasan dibuat pada atau sebelum 14 April tahun ini.

Mahkamah menetapkan 22 Apr untuk sebutan semula sementara menunggu resit akuan terima pampasan tersebut.

Syarikat itu didapati gagal memastikan keselamatan pekerjanya iaitu Cahya Abdullah, di mana sistem pengangkutan pekerja menggunakan treler yang dipasang pada traktor ke tempat kerja atau sebaliknya disediakan, tidak selamat atas sebab reka bentuk yang tidak sesuai untuk membawa pekerja dan menyebabkan kejadian maut kepada pekerja itu.

Kesalahan itu berlaku pada pukul 4.20 petang 25 Mei 2021 di Ladang Bombong 1, Kg Bombong di Kota Marudu.

Kesalahan itu mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 itu memperuntukkan denda sehingga RM50,000, atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Elisa Eligius Samuel dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan menjalankan pendakwaan.

Sementara itu, Englen Manufacturing Sdn Bhd didenda RM20,000 atau penjara tiga bulan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohd Salim, selepas wakilnya mengaku terhadap pertuduhan itu.

Syarikat itu gagal memastikan keselamatan pekerjanya Bonnie Roger yang terlibat dalam kejadian maut pada pukul 1.40 tengah hari 15 Mei 2021 di Zon Perindustrian 7-Ph1, di Jalan Norowot 2B, KKIP Timur, di sini.

Pertuduhan menyatakan, kejadian maut itu berlaku apabila prosedur kerja sedia ada dalam mesin kimpalan iaitu menyangkut wayar pada pagar sebelum kerja penyambungan wayar menggunakan mesin kimpalan.

Wakil itu meminta hukuman ringan dengan memberitahu mahkamah bahawa syarikat itu telah membayar RM3,000 kepada keluarga mangsa.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan meminta hukuman setimpal dikenakan ke atas syarikat itu bagi memastikan syarikat lain akan lebih serius dalam aspek pengurusan kesihatan dan keselamatan. – CDB

Pemandu guna laluan motor

kena 5 hari,

denda RM8,000

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang lelaki memandu kereta secara melulu dengan menggunakan laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan akhirnya membawa padah apabila dipenjara lima hari dan didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.

Majistret Amanina Mohamad Anuar memerintahkan R.Rhuobanraj, 30, menjalani hukuman itu bermula Jumaat dan jika gagal membayar denda, dia boleh dipenjara empat bulan. Tertuduh membayar denda berkenaan.

Rhuobanraj didakwa memandu kereta dengan cara melulu dan berbahaya kepada pengguna jalan raya yang lain di Lebuhraya Persekutuan pada 5.30 petang, 17 Mac lepas mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak lebih RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun.

Terdahulu, Rhuobanraj yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan ketika kejadian dia tidak sengaja memasuki laluan motosikal selain menyesal atas perbuatan dilakukan.

“Saya tiada niat jahat untuk potong laluan. Saya tersilap masuk dan hanya dapat keluar dari laluan motosikal itu selepas dimaklumkan oleh seorang pak cik (penunggang motosikal) yang kemudian menunjukkan jalan keluar dari tempat kejadian.

“Saya tidak berapa pandai jalan di Kuala Lumpur. Saya bekerja di Bangsar dan terpaksa ulang-alik ke Seremban untuk menjaga ibu saya yang merupakan ibu tunggal yang tidak bekerja,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Nursyuhada Abd Rauf memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran kerana kesalahan tertuduh adalah serius yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain terutama penunggang motosikal.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.