Hujan Lebat, Ibu Negara Banjir Lagi

25 Apr 2022 • 8:10 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Keadaan di Jalan Sultan Azlan Shah yang dinaiki air selepas hujan lebat selama beberapa jam petang tadi. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR - Hujan lebat berterusan selama lebih sejam mengakibatkan beberapa jalan utama di sekitar ibu negara ditenggelami air dan menyebabkan kesesakan lalu lintas luar biasa, hari ini.

Selain itu, siren di Sungai Toba Segambut Dalam turut dibunyikan susulan paras air yang melimpah sehingga menenggelamkan jalan raya di sekitarnya.

Difahamkan, aras air Sungai Gombak di Jalan Tun Razak - Jalan Batu Bata turut menunjukkan trend meningkat dan sudah berada di paras bahaya.

Antara laluan yang sesak dan dinaiki air adalah Jalan Segambut, Jalan Kuching, Jalan Pudu, Jalan Ampang, Jalan Genting Klang, Jalan Sungai Besi, Jalan Tun Razak dan Jalan Tuanku Abdul Halim.

Ia bertambah buruk apabila banjir kilat itu berlaku pada waktu puncak ketika orang ramai berpusu-pusu pulang ke rumah.

Sementara itu, kemas kini Twitter Pusat Pengurusan Pengangkutan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (ITIS DBKL) menyatakan banjir berlaku seawal jam 3 petang tadi.

"Cuaca hujan lebat di sekitar pusat bandar. Terdapat lokasi air bertakung dan banjir di pusat bandar. Berhati-hati ketika memandu, jalan licin," katanya. - Getaran, 25 April 2022