
TAWAU: Seorang lelaki warga Filipina berumur 31 tahun dipenjara empat tahun dan didnda RM200,000 atau penjara dua tahun kerana memiliki organ penyu hijau (Chelonia mydas), spesies penyu yang dilindungi sepenuhnya, tanpa permit.
Hakim Mahkamah Sesyen, Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman itu kepada Suryan Sah Mohd Edi, yang mengaku bersalah kepada tuduhan terhadapnya pada Isnin.
Suryan didapati memiliki organ penyu itu iaitu 13 keping plastron dan 25 keping sisik marginal pada pukul 10 pagi 29 Mac tahun ini di Kg Bangau-Bangau, Semporna.
Kesalahan di bawah Seksyen 41 (1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 itu boleh dihukum di bawah Seksyen 41 (4) (a) Enakmen sama, yang memperuntukkan denda sehingga RM250,000 dan penjara sehingga lima tahun, jika sabit kesalahan.
Sebelum menjatuhkan hukuman, mahkamah menyatakan bahawa tiada maaf bagi penjenayah alam sekitar kerana jika mahkamah tidak tegas, masyarakat tidak akan mengambil pengajaran.
Mahkamah juga menyatakan bahawa apabila penyu dibunuh dengan banyak, kumpulan penyu tidak akan datang lagi sehingga akhirnya pupus.
“Kapak dan tukul (yang digunakan) menunjukkan penyu dibunuh dengan kejam tanpa belas kasihan. Awak atau sesiapa sahaja yang melakukan jenayah alam sekitar ini, telah melakukan pembunuhan secara kejam,” kata mahkamah.
Terdahulu, Suryan yang tidak diwakili, meminta hukuman ringan, mengatakan dia perlu menanggung ibunya.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar (JHL), Abdul Karim Dakog memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh kerana kes itu melibatkan kepentingan awam.
Dia menambah, kesalahan itu juga adalah satu kesalahan alam sekitar yang serius dan mendapat perhatian berat di dalam dan luar negara samada kerajaan ataupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Abdul turut berhujah bahawa spesies penyu itu dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
Dia menambah, hukuman berat itu juga bertujuan memberi pengajaran kepada tertuduh agar insaf dan sebagai pencegahan kepada penjenayah hidupan liar yang masih bebas supaya tidak melakukan kesalahan serupa.
Menurut fakta kes, tertuduh yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna yang membuat pemeriksaan ke atas sebuah perahu diikat di depan sebuah rumah.
Hasil pemeriksaan, polis menemui organ-organ penyu yang sudah dipotong iaitu 25 keping sisik marginal penyu dan 13 keping plastron penyu di atas bot yang dinaiki tertuduh.
PPM turut menemui sebilah pisau pemotong, tukul dan topeng gogal.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
