
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berumur 55 tahun dipenjara sejumlah 30 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, Khamis lalu, atas dua pertuduhan mengedar dadah.
Kan Cheah Jong (gambar) mengaku bersalah di hadapan Hakim Datuk Nurchaya Arshad kepada pertuduhan alternatif yang ditawarkan kepadanya mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) Akta yang sama.
Pada pertuduhan pertama, Kan mengaku memiliki 265.04 gram syabu pada pukul 10.10 pagi 16 Nov 2016 di pintu masuk Suria Indoor Soccer Centre di Jesselton Point, di sini.
Kan bagi pertuduhan kedua, mengaku bersalah memiliki 293.71 gram syabu lagi pada pukul 10.20 pagi hari yang sama, berhampiran sebuah pusat refleksologi di Menara MAA, di sini.
Nurchaya menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintah supaya hukuman berjalan serentak dari tarikh dia ditangkap.
Hukuman sebatan mandatori tidak dikenakan ke atas Kan kerana usianya yang sudah melebihi 50 tahun.
Terdahulu, Nurchaya dalam menyampaikan keputusannya memutuskan bahawa mahkamah telah mengambil kira bahawa Kan adalah pesalah kali pertama, bahawa representasi pihak pembelaan telah diterima oleh pihak pendakwaan tetapi pada masa sama, Kan diberi peluang kedua sekali gus mengelak hukuman gantung sampai mati.
Dia juga berpendapat bahawa kesalahan itu sangat berat dan mencerminkan betapa beratnya perlakuan kesalahan ini, khususnya berat dadah sebagaimana didakwa secara berasingan.
Pertuduhan alternatif, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang daripada lima tahun dan sebatan tidak kurang daripada 10 sebatan, jika sabit kesalahan, ditawarkan oleh pihak pendakwaan selepas enam saksi dipanggil untuk memberi keterangan dalam perbicaraan.
Kan pada asalnya didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) Akta sama yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan jika tidak dihukum mati, tertuduh boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Peguam Dominic Chew dan Luke Ressa Balang, yang mewakili Kan, memohon hukuman penjara ringan bermula dari tarikh dia ditangkap atas alasan dia sudah insaf dan mengalami kesakitan fizikal dan emosi semasa dalam tahanan.
“Ini menyebabkan tertuduh bermuhasabah dan beralih kepada kehidupan yang soleh dan insaf,” kata pihak pembelaan, menambah Kan melahirkan rasa syukur kerana diberi peluang kedua dalam hidup dan ingin membuka lembaran baharu dengan menjalani kehidupan beribadat selepas dibebaskan.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Rozana Abdul Hadi menjalankan pendakwaan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
