Guru berjalan dalam lumpur 18 jam, berjuang elak keciciran murid pedalaman

10 Apr 2022 • 3:12 PM MYT
Sinar Bestari
Sinar Bestari

Portal Pilihan Guru-Pelajar-Sekolah serta IPTA/IPTS

Pada cuti persekolahan yang lalu, jalan di Kampung Pohon Batu dan Kampung Pangaraan yang terletak di Sabah telah terputus hubungan akibat hujan lebat.

Ini menyebabkan tanah runtuh dan tiga jambatan utama putus yang menyukarkan perjalanan guru-guru untuk mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Pangaraan.

Baca juga

Mereka terpaksa berjalan kaki selama 18 jam untuk sampai ke sekolah berkenaan.

Perkara tersebut telah disuarakan oleh Zazila Roslan menerusi laman Facebook, baru-baru ini.

Ibunya, Jusseh Agitor adalah guru berusia 50-an terpaksa menempuh perjalanan berlumpur sejauh 30 kilometer untuk sampai ke SK Pangaraan.

“Walaupun mak dibolehkan bekerja di pejabat pendidikan sehingga jalan raya pulih.

“Mak saya tidak senang hati memikirkan keadaan murid-murid yang akan ketinggalan pelajaran.

“Selama ini, dia memang berbakti mengajar di pedalaman selama 27 tahun,” katanya.

Menurutnya, bukan guru-guru sahaja yang berdepan dengan situasi tersebut, malah, penduduk kampung juga terkesan.

“Saya akur dan faham dengan perjuangan dan tugasan pendidik-pendidik tanah air.

“Saya berharap pihak berwajib bantu meringankan beban mereka di Kampung Pangaraan,” katanya.

Zalzila berharap agar pihak berkuasa menyediakan kemudahan helikopter kepada guru-guru untuk ke sekolah.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ini bagi menjimatkan masa dan tenaga para pendidik SK Pangaraan dari menempuhi perjalanan yang panjang terutama dalam bulan Ramadan.

Beliau mewakili penduduk kampung juga menyeru pihak berkuasa supaya mempercepatkan pembuatan jambatan baru kerana jambatan lama sudah tidak dapat digunakan lagi.