
Kes gangguan seksual dan cabul merupakan salah satu jenayah yang amat ditakuti, terutamanya oleh para wanita. Kes-kes jenayah ini juga selalunya terjadi kepada wanita yang sedang berseorangan atau yang sedang ingin meminta pertolongan.
Baru-baru ini, tular di laman Twitter apabila seorang gadis berusia 27 tahun menjadi mangsa cabul di tempat letak kereta Tamarind Square, Cyberjaya ketika dia sedang memasukkan barang ke dalam kereta.
Menerusi laporan Astro AWANI, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 2 petang semalam.
“Suspek memberi alasan mahu membantu kerana dia mahukan troli yang ada pada mangsa.
Bagaimanapun wanita itu memberitahu, dia tidak perlukan pertolongan, namun lelaki itu tetap mengambil barang dan memasukkan ke dalam kereta mangsa dan tiba-tiba lelaki tersebut telah menyentuh dan meramas punggung mangsa kemudian melarikan diri,” katanya.
Bukan kes pertama
Difahamkan, kes gangguan seksual sebegitu bukanlah pertama kali terjadi di Tamarind Square, Cyberjaya, malah terdapat dua lagi kes yang hampir sama dalam masa sehari.
Polis sahkan terima laporan kes cabul seorang wanita usia 27 di Basement Parkir Kereta Tamarind Square Cyberjaya, petang semalam.
Siasatan masih diteruskan untuk mengesan suspek.
Fakta kejadian
pic.twitter.com/vmGYAbPsE0
— Mohd Redzuan Abdul Manap (@redzuanNewsMPB) April 6, 2022
Selain itu, Ketua Polis Daerah Sepang itu juga berkata mangsa hanya nampak lelaki itu matanya juling dan wanita itu juga tidak kenal dan tidak pernah berjumpa dengan lelaki tersebut sebelum ini.
Beliau juga berkata, kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (cabul kehormatan).

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.
