
Kota Kinabalu: Seorang penganggur berusia 56 tahun pada Khamis didenda RM3,000 atau penjara dua bulan kerana menghalang polis menjalankan tugasnya awal tahun ini.
Ngu Sing Keng mengaku bersalah di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie melakukan kesalahan itu terhadap Koperal Mohd Radzi Hussin dengan mengingkari arahan polis untuk memberhentikan kereta yang dipandunya pukul 12.02 tengah hari pada 10 Januari, 2022 di Jalan Teluk Likas, di depan SK St. Agnes.
Mahkamah diberitahu oleh pendakwaan sebelum kejadian, polis peronda mengejar kereta Ngu berikutan maklumat awam mengenai dakwaan dia terlibat dalam kes kecurian di dalam sebuah kereta.
Ngu memecut laju apabila polis mengarahkannya berhenti yang membahayakan polis dan keselamatan awam.
Ngu kemudiannya ditahan di hadapan sekolah berkenaan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 29 tahun dijatuhi hukuman penjara lapan bulan kerana melakukan khianat.
Datu Futra Dato Hadi mengaku memotong kabel di bangunan One Sulaman, Manggatal pada jam 3 pagi pada 18 Dis 2021.
Dia melakukan kesalahan itu bersama dua lagi tertuduh, Abdul Razak Jaidin dan Azlan Akmalrul, kedua-duanya 23 tahun, yang pada 20 April lalu masing-masing dipenjara 8 bulan atas kesalahan itu.
Menurut pendakwaan, Futra dan kedua-duanya ditangkap serta-merta oleh pihak keselamatan ketika memotong kabel di bangunan itu yang masih dalam proses pengubahsuaian dan diserahkan kepada polis.
Futra mengaku mereka mahu menjual kabel itu untuk mendapatkan wang.
Pertuduhan mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan Futra, yang diikat jamin, menjalani hukuman penjara bermula Khamis.
Pendakwaan dikendalikan Inspektor Suzie @ Stephanie Kupit.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
