Disyaki Jadi ‘Hidangan’ Warga Asing, Penduduk Risau Misteri Kucing Hilang Makin Menjadi-jadi

Entertainment
12 Apr 2022 • 10:00 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Kalau kita lihat dekat negara luar, kita akan perasan yang sesetengah daripada mereka bukan hanya jadikan kucing sebagai haiwan peliharaan, tapi turut dijadikan sebagai santapan harian. Pada kita, mungkin perkara ni menjijikkan tapi pada mereka perkara ini adalah normal.

Antara negara yang masih jadikan kucing sebagai hidangan ialah China, Vietnam, Thailand dan Indonesia. Namun, dah ramai aktivis lantang bersuara tentang isu ini agar nasib haiwan comel ini terpelihara.

Baru-baru ini menurut Kosmo!, terdapat kehilangan kucing dalam kuantiti yang banyak serta ia didakwa berlaku secara berleluasa bukan sahaja di Temerloh tetapi turut berlaku sekitar daerah Kuantan. Kucing hilang tersebut disyaki dijadikan hidangan oleh warga asing.

image is not available

Jurina Abdul Rani yang merupakan Pengerusi Kelab Sahabat Kucing Jalanan Pahang berkata pihaknya telah banyak menerima aduan daripada orang ramai tapi disebabkan tidak mempunyai bukti yang mencukupi, isu ini susah dipanjangkan kepada pihak berkuasa.

“Kucing jalanan yang kami beri makan semakin berkurangan. Jika ada kucing baru dibuang, ia akan hilang selepas beberapa hari”

“Kami berharap pihak berkuasa boleh pasang CCTV di kawasan tertentu” – Jurina Abdul Rani

Jurina Abdul Rani menambah bahawa kamera litar tertutup yang dipasang di kawasan tertentu bukan sahaja dapat mengesan individu yang menangkap dan menganiaya haiwan berkenaan tapi dapat mengetahui mereka yang membuang kucing.

Beliau turut berkata kelabnya pernah memohon agar pihak dari Jabatan Veterinar mengetatkan undang-undang sedia ada tapi tiada tindakan lanjut diambil.

Sebelum ini, ada peniaga mendakwa pernah ternampak warga asing yang menangkap dan memukul kepala haiwan tersebut dengan kayu sebelum dimasukkan dalam guni serta dibawa ke lokasi tertentu untuk dilapah dan dimakan.

Banyak juga penduduk yang mencari kucing hilang tapi hanya bulu yang ditemui. Pencinta kucing ternyata geram dan sedih dengan situasi ini serta berharap pihak berkuasa ambil tindakan yang lebih tegas.

Harapnya kejadian macam ni tak berlarutanlah!

image is not available

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.