
TAWAU: Seorang pemilik restoran dihukum penjara 10 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu, kerana mencederakan isterinya menggunakan rotan pada minggu lepas.
Mohd Faizal Md Yusuf, 34, mengaku salah di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud bahawa dia dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, 32, di Restoran D’Archery Garden, Batu 1 Jalan Kuhara, di sini pada jam 1 petang 6 April.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
Seksyen 324 memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebatan, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan sementara Seksyen 326 A memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda hukuman di bawah Seksyen 324.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Suhaimi Suriana memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kepada tertuduh selepas meneliti fakta kes dan mengambil kira faktor kepentingan awam.
Katanya, pihak pendakwaan juga mengambil kira tahap keseriusan kecederaan mangsa yang masih lagi mendapat rawatan di Hospital Tawau, serta masih trauma.
Semasa rayuannya, tertuduh memohon hukuman ringan dan mengakui bertindak sedemikian atas perasaan marahnya kerana mengesyaki isterinya berlaku curang.
Awang Kerisnada dalam penghakimannya berkata, mahkamah menjatuhkan hukuman tersebut bermula tarikh tangkap kerana mengambil kira tahap keseriusan kecederaan mangsa.
Menurutnya, fakta kes dan faktor kepentingan awam juga menjadi keutamaan dalam membuat penghakiman itu.
“Tidak kira sama ada betul atau tidak si mangsa curang, itu tidak sepatutnya dijadikan alasan tertuduh untuk memukul si mangsa dengan begitu teruk sekali.
“Tertuduh boleh sahaja membuat laporan polis, atau rujuk ke Mahkamah Syariah atau mendapatkan khidmat kaunseling kerana perbuatan memukul isteri dengan begitu teruk tidak wajar dilakukan,” tegasnya.
Menurut fakta kes, tertuduh ditangkap pada jam 2 pagi 7 April di restoran tersebut, susulan laporan polis dibuat mangsa pada jam 10.42 malam 6 April.
Siasatan polis mendapati, pada hari kejadian, mangsa dimarahi tertuduh hingga dipukul menggunakan rotan dan mendatangkan kecederaan sehingga mangsa berasa sakit di seluruh badan.
Mangsa juga berasa terancam kerana sering dipukul oleh tertuduh setiap kali mereka bergaduh.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
