Kredit foto: freepik.com/bedneyimages
Warna dan kehidupan manusia adalah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Jika anda ditanya: “Apakah warna kegemaran anda?” Pasti sekurang-kurangnya akan muncul satu jenis warna dalam fikiran anda. Itulah salah satu tanda betapa dekatnya warna ini dalam hidup kita.
Kenapa Warna Penting?
Warna mampu mempengaruhi kita dalam pelbagai aspek seperti cara berfikir, perbuatan serta reaksi kita terhadap sesuatu perkara.

Bergantung kepada jenis pendedahan atau cara ianya digunakan, warna mampu melega atau merengsakan mata, meningkat atau menurunkan tekanan darah, dan mengawal selera kita. Bahkan jika digunakan dengan teknik tertentu, warna juga mampu menjimatkan penggunaan tenaga. Hebat kan?
Warna-warna yang mengelilingi hidup seseorang individu itu sinonimnya akan memberi kesan kepada emosi dan cara dia berfikir. Ada masanya kesan ini turut dirasakan oleh mereka yang berada di sekitar inidividu tersebut.
Warna Sejuk

Warna sejuk lazimnya dikaitkan dengan rasa segar, memberi efek tenang serta melegakan stres. Berikut merupakan senarai dan sifat warna yang berada dalam kategori sejuk:
- Biru – integriti, ketenangan, kebijaksanaan dan rasa boleh-percaya.
- Hitam – misteri, keanggunan, kuasa atau pihak berkuasa.
- Ungu – kreativiti, spiritualisme, kekayaan, kemewahan, bangsawan dan silap mata.
- Hijau – alam semulajadi, alam sekitar, kesihatan, tumbesaran, ketenangan dan keharmonian.
- Putih – kebersihan, keterbukaan, suci dan jelas.
Warna Hangat

Warna hangat ini biasanya bersifat menghiburkan, bersemangat, merangsang, yang menjemput, suka berjenaka atau bermain, serta menceria atau meriangkan. Berikut senarai warna-warna hangat dan sifatnya:
- Kuning – kegembiraan, keriangan, hangat dan optimistik.
- Jingga – hangat, perubahan dan kesihatan.
- Merah – rasa cinta, mempersona, bertenaga, rasa hidup dan rasa ghairah.
- Emas – kekayaan, tradisi dan kemewahan.
Warna Sejuk vs Warna Hangat
Secara visualnya warna sejuk apabila dilihat, akan membuatkan kita rasa menjauh atau menyurut darinya. Ini kerana minda kita secara automatik sering mengaitkan warna ini dengan elemen alam semula jadi seperti pemandangan langit, hamparan rumput dan air (tasik, sungai).

Bertentangan dengan warna sejuk, warna hangat membuatkan kita rasa mendekat atau menghampiri apabila melihatnya. Kombinasi warna hangat seperti merah, kuning, dan jingga turut memberi ilusi rasa hangat (boleh juga panas) dan mesra kerana kita sering mengaitkannya dengan sinaran cahaya matahari dan suhu hangatnya.
Memilih Warna yang Sesuai
Bagaimana untuk memilih warna yang sesuai? Ianya pastilah terpulang karakter individu, minatnya, matlamatnya dalam jangka panjang atau pendek, serta keperluan individu itu pada satu-satu masa. Jadi boleh dikatakan di sini yang pilihan warna itu berubah-ubah maka kesesuaian warna juga akan berubah buat individu.

Seorang introvert contohnya, dia suka ketenangan dan perlu berehat – jadi dia boleh memilih untuk dikelilingi mana-mana warna sejuk yang sesuai dengan. Berbeza pula dengan seorang individu extrovert, dia memerlukan kick start untuk memulakan projek kreatif terbarunya – warna yang lebih mengelilinginya pastilah warna hangat yang sifatnya lebih bertenaga dan bersemangat.
Pentingnya Keseimbangan Warna
Satu lagi hal yang penting untuk disebut adalah perlunya ada persekitaran yang mempunyai kombinasi seimbang antara warna hangat dan warna sejuk. Melainkan seseorang itu ingin mendapatkan inspirasi yang memerlukan dia berada dalam persekitaran yang lebih cenderung kepada sesuatu jenis warna – selebihnya adalah lebih baik untuk berada dalam persekitaran yang lebih seimbang. Apa-apa pun pilihannya semua di tangan anda.

#SiriWarna
Artikel ini merupakan Siri 1 yakni permulaan bagi Siri Warna di ruangan @KadangKaler. Ikuti hashtag #SiriWarna di carian Newswav untuk lebih banyak topik menarik dan bermanfaat berkisar tentang warna.
Terima kasih kerana membaca. Jumpa lagi di nukilan atau di Siri 2 #SiriWarna akan datang!
Kredit foto featured image: thephotoargus.com
KadangKaler adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!
*Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.


