Hoki Piala Asia: Malaysia Ikat India 3-3

30 May 2022 • 9:04 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Pasukan hoki lelaki kebangsaan mengikat juara bertahan India dengan keputusan 3-3 pada aksi kedua Pusingan ‘Super 4’ Hoki Piala Asia di Stadium Hoki Gelora Bung Karno malam tadi. - Gambar Bernama

JAKARTA - Jaringan hatrik Muhammad Razie Abd Rahim berjaya membantu Malaysia mengikat juara bertahan India 3-3 pada aksi kedua Pusingan “Super 4” Hoki Piala Asia di Stadium Hoki Gelora Bung Karno di sini, malam tadi.

Malaysia memulakan aksi dengan penuh yakin apabila mengasak kubu lawan bagi memburu gol pembukaan. 

Selepas 12 minit permainan, “The Speedy Tigers” berjaya berada di hadapan menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Razie.

Beliau kemudian menggandakan jaringan buat Malaysia, yang menduduki ranking ke-11 dunia, apabila berjaya melengkapkan satu lagi pukulan sudut penalti pada minit ke-21.

Bersambung pada suku ketiga, juara bertahan India yang melakukan serangan bertali arus berjaya merapatkan jurang gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-32 daripada Vishnukant Singh.

Skuad kendalian Sardar Singh yang menduduki ranking ketiga dunia, menyamakan kedudukan pada minit ke-53 melalui gol padang S V Sunil.

India kemudian memimpin perlawanan pada minit ke-55 apabila pukulan sudut Nilam Sanjeep Xess berjaya menembusi gawang Malaysia. 

Tersentak dengan jaringan itu, Malaysia bangkit menyamakan kedudukan melalui pukulan sudut penalti yang disempurnakan Muhammad Razie seminit kemudian sekali gus melengkapkan hatrik beliau malam tadi.

Kedudukan seri 3-3 itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Dalam ulasannya mengenai perlawanan malam tadi, pengendali skuad negara, A Arul Selvaraj berkata pasukannya mempamerkan karakter terpuji dan terus berusaha untuk mendapatkan gol. 

“Namun agak menyedihkan kelemahan bermula di suku ketiga seperti perlawanan semalam. Tapi itulah hoki jika tidak cipta peluang tidak mengapa.

Sebaliknya jika peluang yang dicipta tidak menghasilkan gol moral pasukan akan menurun,” katanya.

Malaysia yang seri 2-2 menentang Korea Selatan semalam perlu menang berdepan Jepun pada 31 Mei untuk mara ke perlawanan akhir. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved