Jumlah kerugian akibat penipuan di Ranau cecah RM1.8j: Semiun

20 May 2022 • 2:34 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

RANAU: Orang ramai khususnya di daerah ini diingatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak terjebak dalam sebarang bentuk penipuan seperti Macau Scam, atau pinjaman kewangan dan pembelian kenderaan yang tidak wujud dan banyak lagi melalui alam siber.

Ketua Polis Daerah, DSP Semiun Lomudin berkata, susulan kes penipuan melalui platform dalam talian, nilai jumlah kerugian di Ranau yang mencecah RM1.8 juta sehingga kini, amat membimbangkan.

“Atas sebab itu, saya menasihatkan pemimpin akar umbi supaya memberikan maklumat secukupnya kepada orang ramai supaya tidak berurusan dengan mereka (Macau Scam) kerana ia merugikan diri, keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.

Simiun berkata demikian ketika menyampaikan taklimat pada Program Santai Info On [email protected] dan Taklimat Keselamatan dan Jenayah di Bilik Mesyuarat Jabatan Penerangan (JaPen) Daerah, di sini pada Khamis.

Program itu dihadiri kumpulan fokus yang dianggotai lebih 30 ketua masyarakat dari seluruh daerah ini.

Sementara itu, beliau meminta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Ketua Kampung di setiap kampung agar melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku kejadian mencurigakan di kawasan mereka.

“Ini termasuk, jika mereka mengetahui kehadiran pendatang tanpa izin (PTI) dan individu mencurigakan di tempat masing-masing yang dikhuatiri tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

“Laporkan segera jika ada PTI di mana-mana kampung untuk siasatan lanjut,” katanya, sambil menambah, kes jenayah di daerah ini masih terkawal.

Menurutnya, kebanyakan kes yang berlaku di Ranau ialah pecah rumah, mencuri kenderaan, jenayah kekerasan dan sumbang mahram.

Simiun turut menegaskan agar melaporkan atau menyerahkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui memiliki, menyimpan atau membuat senjata api buatan sendiri (Bakakok) kerana ia merupakan satu kesalahan yang boleh didakwa jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Pegawai JaPen Ranau, Kenny Thomas berkata program itu merupakan salah satu aktiviti diadakan bagi merealisasikan hasrat dan arahan kerajaan untuk menyampaikan maklumat yang sahih dan bukannya seperti yang dihebahkan melalui aplikasi WhatsApp yang kadangkala mengelirukan dan tidak tepat.

“Objektif program ini juga adalah untuk meningkatkan kefahaman, kesedaran kepada rakyat mengenai dasar, program dan inisiatif kerajaan berkaitan hal keselamatan,” katanya.

Turut hadir, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Paginatan Mohd Hisyamudin Harun, Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau Benedict Gunda, dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Bandar (JKDB) Pekan Ranau Tan Eng Sing, antara lain.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.